Anggota tentera Israel maut dalam pertempuran di Gaza

BAITULMAQDIS - Seorang pegawai tentera Israel (IDF) terbunuh dalam pertempuran di Bandar Gaza, menjadikannya korban pertama dalam operasi baharu tentera itu sejak dilancarkan minggu lalu.
Anggota itu dikenali sebagai Mejar Shahar Netanel Bozaglo, 27, komander kompeni dalam Briged Perisai ke-7 Batalion ke-77, dari Migdal Haemek.
Beliau dilaporkan cedera selepas sebuah kereta kebal unitnya diserang peluru berpandu anti-kereta kebal (RPG) oleh pejuang Hamas, sebelum meninggal dunia di hospital pada 22 September lalu.
Bozaglo baru sahaja memegang jawatan itu awal September lalu dan pernah menerima anugerah kecemerlangan daripada Komander Kor Perisai, Brigedier Jeneral Ohad Maor.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza menjelaskan bahawa seramai 38 rakyat Palestin terbunuh dan hampir 200 cedera akibat serangan Israel dalam tempoh 24 jam lalu.
IDF menganggarkan sekitar 640,000 daripada sejuta penduduk Gaza City telah meninggalkan kawasan utara ke selatan sejak operasi darat diperluaskan minggu lalu.
Bagaimanapun, operasi itu menerima kritikan termasuk daripada keluarga tawanan Israel serta laporan media yang mendakwa Ketua Turus IDF, Leftenan Jeneral Eyal Zamir turut memberi amaran ia boleh membahayakan anggota dan baki 48 tawanan.
Agensi bantuan kemanusiaan juga memberi amaran bahawa tindakan tersebut bakal memburukkan lagi krisis di Gaza, yang sebelum ini diisytiharkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berdepan kebuluran.
Dalam perkembangan berkaitan, lebih banyak negara Barat termasuk Kanada, Perancis, Jerman, Itali dan Kesatuan Eropah menggesa Israel membuka semula koridor perubatan antara Gaza dan Tebing Barat bagi membolehkan pesakit Palestin mendapatkan rawatan segera. - Agensi
Ringkasan AI
- Seorang pegawai tentera Israel, Mejar Shahar Netanel Bozaglo terbunuh dalam pertempuran di Bandar Gaza
- Bozaglo meninggal selepas kereta kebalnya diserang menggunakan peluru berpandu anti-kereta kebal oleh pejuang Hamas
- Seramai 38 rakyat Palestin terbunuh dan hampir 200 cedera akibat serangan Israel
- Anggaran 640,000 penduduk Gaza City telah berpindah dari kawasan utara ke selatan
- Negara-negara Barat termasuk Kanada dan Perancis menggesa Israel membuka semula koridor perubatan antara Gaza dan Tebing Barat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

