Tidak mampu berulang alik, warga emas mohon tukar lokasi perbicaraan kes cerai

KUALA TERENGGANU – Seorang warga emas memohon agar prosiding perbicaraan tuntutan fasakh yang difailkan isterinya dipindahkan dari Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Mohamed Sedam Abdullah, 77, yang merupakan pesara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, beliau berdepan kesukaran untuk hadir ke Kuala Terengganu kerana terpaksa berulang-alik dari Kulim, Kedah selain menghadapi masalah kesihatan.
"Saya berharap agar lokasi perbicaraan ditukar ke Kuala Lumpur memandangkan terdapat kediaman saya di Pantai Dalam. Selain itu, saya juga alami masalah kesihatan dan bimbang keselamatan diri sepanjang perjalanan jauh dari Kedah ke Terengganu.
"Sepanjang tempoh perbicaraan dan sebelum memulakan perjalanan, saya ada buat laporan di Balai Polis Kulim kerana takut berlaku sebarang kejadian tidak diingini kepada saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini baru-baru ini.
Menurutnya, surat rayuan rasmi berhubung perkara itu telah dikemukakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada 24 Jun lalu agar lokasi prosiding dipindahkan ke Kuala Lumpur.
Selain itu, rayuan Mohamed Sedam turut dikemukakan kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
"Saya ada juga surat sokongan daripada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPKM-WPKL) bertarikh 23 Jun lalu yang menyatakan sokongan penuh terhadap permohonan saya.
"Namun, sehingga kini saya tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak terlibat mengenai perkara ini dan keadaan ini menyukarkan saya.
"Untuk situasi terbaharu, saya dimaklumkan tarikh kes saya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu pada 21 September, namun ketika saya sudah di dalam bas, saya dihubungi peguam memberitahu tarikh saya ditunda pada Disember nanti.
"Bayangkan saya terpaksa teruskan juga perjalanan ke Terengganu. Kos yang saya terpaksa tanggung termasuk sewa hotel untuk saya bermalam hanya rugi begitu sahaja," katanya.
Mohamed Sedam yang hidup sebatang kara hanya menerima pencen RM652 sebulan dan menghidap pelbagai penyakit termasuk darah tinggi.
Ringkasan AI
- Seorang warga emas memohon agar prosiding perbicaraan tuntutan fasakh dipindahkan ke Kuala Lumpur kerana kesukaran hadir dari Kulim, Kedah
- Mohamed Sedam Abdullah berdepan masalah kesihatan dan bimbang keselamatan diri sepanjang perjalanan dari Kedah ke Terengganu
- Surat rayuan telah dikemukakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Lembah Pantai
- Mohamed Sedam menerima sokongan daripada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
- Beliau hidup sebatang kara dengan pencen RM652 sebulan dan menghidap pelbagai penyakit termasuk darah tinggi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
