Warga emas didakwa bunuh penghuni rumah orang tua

MANJUNG - Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa atas pertuduhan membunuh seorang penghuni rumah warga tua di Pulau Pangkor, minggu lalu.
Tertuduh, Ong Thean Sun, 73, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Tan An Man, 73, di Pertubuhan Pengurusan Rumah Warga Tua Pangkor, Sungai Pinang Kecil antara jam 12.40 tengah hari hingga 1 petang pada 17 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 November depan sebagai sebutan semula kes.
Terdahulu, media melaporkan, mangsa yang mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati, tertuduh dan mangsa terlibat dalam pergaduhan, namun motif kejadian masih dalam siasatan.
Ringkasan AI
- Warga emas dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh di Pulau Pangkor
- Tertuduh, Ong Thean Sun, 73, didakwa membunuh seorang penghuni rumah warga tua
- Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi
- Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, boleh membawa hukuman mati atau penjara
- Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 November
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

