Warga emas bertongkat maut dilanggar ketika lintas jalan

Mangsa maut di lokasi kejadian di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu Berendam pada malam Isnin.
Mangsa maut di lokasi kejadian di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu Berendam pada malam Isnin.
A
A
A

MELAKA – Seorang wanita warga emas yang sedang melintas jalan untuk pulang ke rumahnya di Taman Sutera di sini, maut dilanggar kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu Berendam pada malam Isnin.

Kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, menyebabkan mangsa, Choo Ng Lan, 72, yang berjalan menggunakan tongkat meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pikap jenis Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 45 tahun sedang dalam perjalanan dari Batu Berendam menghala ke Durian Tunggal.

"Namun setiba di lokasi kejadian, mangsa yang bertongkat dilaporkan melintas dari kiri ke kanan jalan.

"Pemandu kenderaan terbabit sempat mengelak ke arah kanan namun masih terlanggar mangsa di bahagian hadapan kiri kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari Selasa.

Jelas beliau, keadaan jalan ketika itu adalah tiga lorong sehala dengan permukaan kering, manakala lampu jalan berfungsi dengan baik.

Lokasi kemalangan yang meragut nyawa warga emas itu.
Lokasi kemalangan yang meragut nyawa warga emas itu.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada saksi bebas mahupun rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

"Namun terdapat rakaman dashcam dari kenderaan terbabit," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat manakala kenderaan terbabit ditahan untuk pemeriksaan di Puspakom Rembia, Alor Gajah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ringkasan AI

  • Seorang wanita warga emas maut dilanggar kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu Berendam
  • Mangsa berusia 72 tahun meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah
  • Kenderaan yang terlibat ialah sebuah Toyota Hilux yang dipandu oleh lelaki berusia 45 tahun
  • Tiada saksi bebas atau rakaman CCTV di lokasi, hanya rakaman dashcam dari kenderaan terlibat
  • Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat, kenderaan terbabit ditahan untuk pemeriksaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!