Warga emas hilang lebih seminggu ditemukan reput dalam semak

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

MIRI - Seorang lelaki warga emas yang keluar meninggalkan rumahnya lebih seminggu lepas ditemukan meninggal dunia dalam keadaan reput di kawasan Sebubok, Batu Niah malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan mayat Chong Nyuk Fan, 77, ditemukan berhampiran lokasi kenderaan pacuan empat roda milik mangsa ditinggalkan.

Kenyataan itu memaklumkan PGO menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada jam 9.18 malam.

"Pihak bomba bersama polis kemudiannya menuju ke lokasi kejadian dan tiba pada 9.44 malam... operasi pencarian dijalankan di dalam radius 50 meter dari tempat kenderaan mangsa dijumpai dan dalam tempoh 20 minit, mangsa telah ditemukan di kawasan rumput tinggi di bahu jalan dalam keadaan reput,” menurut kenyataan itu.

Menurut PGO, berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh keluarganya semalam, Chong keluar dari rumah di kawasan Senadin pada 14 September lepas dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda itu tanpa memaklumkannya kepada mereka.

"Semakan pada Sistem Penentu Kedudukan Global mendapati kenderaan tersebut telah dipandu dari Miri ke Belaga pada 14 September sebelum menuju ke simpang Batu Niah pada 17 Sept yang merupakan lokasi terakhir dikesan… kenderaan itu kemudiannya ditemukan di tepi jalan namun mangsa tiada di dalamnya,” katanya.

Usaha keluarga mangsa mencari warga emas berkenaan di kawasan itu juga gagal sebelum laporan polis dibuat untuk mendapatkan bantuan bagi mengesan keberadaan Chong.- Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki warga emas, Chong Nyuk Fan berumur 77 tahun ditemukan meninggal dalam keadaan reput di Sebubok, Batu Niah
  • Chong dilaporkan hilang lebih seminggu lepas sebelum ditemukan berhampiran kenderaan pacuan empat roda miliknya
  • Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat bersama polis menjumpai mayat tersebut dalam operasi pencarian
  • Chong meninggalkan rumah pada 14 September tanpa memberitahu keluarganya dan mengemudi ke beberapa lokasi sebelum ditemukan
  • Usaha keluarga mencarinya gagal sehingga laporan polis dibuat untuk bantuan mencari keberadaannya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!