Seks suka sama suka: Kelantan sokong cadangan perempuan juga dikenakan tindakan

Laporan Sinar Harian mengenai cadangan polis Kelantan agar perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang. Gambar kecil: Mohamed Fadzli
Laporan Sinar Harian mengenai cadangan polis Kelantan agar perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang. Gambar kecil: Mohamed Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri menyokong cadangan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat supaya perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, cadangan berkenaan wajar dipertimbangkan secara serius selain menunjukkan bahawa Ketua Polis Kelantan benar-benar mengambil berat tentang isu sosial ini.

"Dalam situasi sedemikian, tidak wajar hanya pihak lelaki yang dipertanggungjawabkan sedangkan perempuan juga perlu sama.

"Ini kerana dalam banyak kes, dorongan kepada perlakuan itu bukan sahaja datang daripada lelaki, malah kadang-kadang datang daripada pihak perempuan juga," katanya semasa sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Menurut beliau, disebabkan itu perkara tersebut tidak boleh lepas begitu sahaja.

Ujarnya, jika dilepaskan ia sebenarnya tidak memberi peringatan kepada pihak perempuan.

Mohamed Fadzli memberitahu, dibimbangi nanti akan wujud anggapan bahawa hanya lelaki yang bersalah.

"Ia bukanlah bertujuan untuk menghukum tetapi sekurang-kurangnya memberi ruang kepada tindakan yang bersifat mendidik terhadap pihak satu lagi, bukan hanya menghukum sebelah pihak sahaja.

"Kami mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji pendekatan terbaik untuk menangani isu ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, ini kerana pendekatan yang diambil tidak semestinya berbentuk hukuman jenayah, tetapi lebih kepada pendidikan, pengislahan dan memberi pengajaran kepada kedua-dua pihak.

Mohamed Fadzli turut menegur sikap segelintir ibu bapa yang hanya menyalahkan pihak lelaki setelah mengetahui anak perempuan mereka terlibat dalam hubungan terlarang berkenaan.

"Kadang-kadang ibu bapa apabila tahu anak perempuan mereka berzina, terus buat laporan dan lelaki yang kena tindakan.

"Tapi mereka tidak pula ambil tanggungjawab mendidik anak mereka. Dalam hal ini kedua-dua pihak sama ada lelaki atau perempuan perlu dipertanggungjawabkan," katanya.

Media pada Ahad melaporkan polis Kelantan mencadangkan agar perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Mohd Yusoff, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di negeri ini adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.

Ringkasan AI

  • Kerajaan negeri Kelantan menyokong cadangan undang-undang terhadap wanita terbabit dalam hubungan seks suka sama suka
  • Cadangan ini bertujuan memberi peringatan kepada wanita dan mengelak anggapan hanya lelaki bersalah
  • Menekankan pendidikan, pengislahan dan pengajaran kepada kedua-dua pihak sebagai pendekatan utama
  • Timbalan Menteri Besar Kelantan mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas untuk kaji pendekatan terbaik
  • Cadangan ini dibuat susulan laporan polis yang menyatakan 90 peratus kes rogol bawah umur adalah dengan kerelaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!