Seks suka sama suka: Cadangan perempuan dikenakan tindakan hanya pandangan peribadi Ketua Polis Kelantan

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Cadangan agar perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang yang disuarakan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat hanyalah sekadar pandangan peribadi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan pandangan itu tidak mewakili pendirian kerajaan atau dasar rasmi kementerian.

“Itu pandangan beliau, kekal sebagai pandangan peribadi beliau. Belum sampai untuk saya beri komen apa-apa.

"Beliau memberi pandangan berdasarkan angka-angka yang berlaku di negeri. Itu pandangan beliau,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pengoperasian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, pandangan berkenaan tidak menggambarkan konsensus peringkat nasional dan kerajaan hanya akan membuat keputusan selepas melalui proses perundangan sewajarnya.

“Kalau sesuatu perkara melibatkan dasar negara, ia mesti dibentangkan dalam Parlimen, dibuat urus tadbirnya dan dipinda akta yang berkaitan terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, adalah penting membezakan antara pendirian individu dengan dasar kerajaan supaya masyarakat tidak keliru.

“Kerajaan hanya bertindak selepas semua proses selesai. Pandangan berasingan seperti ini tidak harus dilihat sebagai pendirian rasmi,” tegasnya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai cadangan peguam supaya had umur rogol statutori wajar dipertimbangkan untuk diturunkan kepada 14 tahun agar lebih realistik dengan tahap kematangan remaja masa kini.

Artikel Berkaitan:

Mohd Yusoff berkata, cadangan remaja perempuan turut dikenakan tindakan undang-undang berdasarkan siasatan pihaknya bahawa hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di negeri itu adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.

Dalam pada itu, Saifuddin membidas pihak tertentu yang hanya bersuara dalam kes terpilih dan berdiam diri apabila anggota polis menjadi mangsa keganasan.

“Bila polis luka kena baling batu, tiada satu pun ulasan daripada kumpulan itu. Kalau mahu perjuangkan hak asasi, mesti konsisten,” katanya.

Beliau berkata, hak asasi perlu diperjuangkan secara menyeluruh termasuk membela pasukan keselamatan yang menjadi barisan hadapan.

“Kita kena lihat semua pihak secara adil, bukan pilih isu tertentu sahaja,” katanya.

Saifuddin menjelaskan kerajaan akan terus menilai pandangan semua pihak tetapi tindakan hanya diambil mengikut lunas undang-undang.

“Kita terbuka mendengar semua pandangan tetapi keputusan mesti berlandaskan undang-undang dan proses yang betul,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Cadangan mengenakan tindakan undang-undang ke atas wanita dalam hubungan seks suka sama suka adalah pandangan peribadi Ketua Polis Kelantan
  • Pandangan tersebut tidak mewakili pendirian kerajaan atau dasar rasmi Kementerian Dalam Negeri
  • Menurut Menteri Dalam Negeri, pandangan itu berdasarkan angka dan situasi di Kelantan
  • Pandangan tersebut tidak menggambarkan konsensus peringkat nasional
  • Kerajaan akan membuat keputusan berdasarkan proses perundangan sewajarnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!