Polis tahan enam PATI menyorok dalam lori

SUNGAI PETANI – Polis menahan dua lelaki tempatan bersama enam pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diangkut menggunakan lori satu tan dalam Op Pintas di Bedong, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 4.30 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.
Menurutnya, operasi yang diketuai Inspektor Nur Adli Warodzee dan Inspektor Mohd Amin Shukery Khamis telah menahan sebuah lori jenis Daihatsu warna merah di tepi jalan pekan Bedong.
“Hasil pemeriksaan menemukan enam lelaki terdiri daripada tiga warganegara Myanmar dan tiga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 51 tahun, tanpa dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, siasatan masih dijalankan berhubung dari mana PATI tersebut dibawa dan lokasi yang ingin dituju.

Katanya, semua tangkapan serta kenderaan yang terlibat telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memperhebat operasi dan pemantauan bagi membanteras kegiatan yang disyaki dilakukan bagi tujuan penyeludupan migran ke negara ini.
Ringkasan AI
- Polis menahan dua lelaki tempatan bersama enam PATI dalam sebuah lori di Bedong
- Operasi dijalankan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Muda
- Enam PATI terdiri daripada warganegara Myanmar dan Indonesia tanpa dokumen pengenalan diri
- Siasatan masih berjalan untuk mengetahui asal-usul dan destinasi PATI tersebut
- Kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran serta Akta Imigresen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

