Maritim tahan dua kru warga asing tanpa dokumen pengenalan diri

KUALA SELANGOR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan dua warga Indonesia di perairan negeri di sini pada Isnin, kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 1.25 petang Ahad, ketika nelayan berkenaan sedang leka menangkap ikan di perairan Tanjung Karang.
"Kapal Maritim yang sedang menjalankan rondaan rutin sekitar 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Karang telah mengesan sebuah bot tempatan.
“Pemeriksaan mendapati bot terbabit dikendalikan oleh seorang tekong lelaki warga tempatan berusia 67 tahun, bersama dua awak-awak warga Indonesia berusia 28 dan 37 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Abdul Muhaimin berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985, iaitu penggunaan mata pukat kurang daripada 38 milimeter yang dilarang dalam operasi penangkapan ikan.
"Bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dengan menggunakan warga asing serta gagal mempamerkan nombor patil bot.
"Turut dirampas ialah kira-kira 50 kilogram ikan campur dipercayai hasil tangkapan aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga individu bersama bot dan hasil rampasan telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
"Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat sah lesen serta dua kru tiada dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.
Menurutnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan lesen sah.
"Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan khususnya di perairan Selangor bagi membanteras aktiviti perikanan haram di perairan negeri ini.
"Sekiranya terdapat sebarang maklumat, aduan berkenaan aktiviti mencurigakan atau kes jenayah di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
