SPRM lengkapkan siasatan kes 'counter setting'

CYBERJAYA - Siasatan kes tangkapan membabitkan skandal ‘counter setting’ sedang dilengkapkan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menurutnya, jumlah individu yang ditahan masih kekal.
“Siasatan sedang dilengkapkan dan tiada tangkapan baharu setakat ini.
“Saya telah arahkan pegawai saya untuk mempercepatkan siasatan dalam tempoh tiga minggu dari sekarang. Selepas itu, sekiranya ada perkembangan lanjut sama ada dituduh atau tidak, saya beri jaminan akan maklumkan,” katanya pada Ulang Tahun ke-8 Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Universiti Multimedia (MMU) di sini, Rabu.
Minggu lalu, Azam dilaporkan berkata, pihaknya sedang meneliti rekod kewangan ahli keluarga dan rakan rapat individu yang ditahan berhubung kes terbabit.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, pegawai penguat kuasa terbabit menerima bayaran wang rasuah berjumlah RM1,800 hingga RM2,500 bagi setiap warga asing yang berjaya masuk ke Malaysia.
Bayaran wang rasuah itu dibuat secara tunai dan menggunakan akaun keldai.
Secara purata, pegawai yang terlibat menerima wang rasuah antara RM10,000 hingga RM50,000 sebulan bergantung kepada jumlah warga asing yang dilepaskan.
Menerusi operasi bermula 9 September lalu, SPRM melalui Op Rentas menahan seramai 30 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat dan tiga orang awam.
Tangkapan dilaksanakan di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Ringkasan AI
- Siasatan kes tangkapan skandal 'counter setting' sedang dilengkapkan oleh SPRM
- Jumlah individu yang ditahan kekal sama tanpa ada tangkapan baru
- Ketua Pesuruhjaya SPRM arahkan mempercepatkan siasatan dalam tempoh tiga minggu
- Pegawai penguat kuasa terima rasuah RM1,800 hingga RM2,500 bagi setiap warga asing masuk Malaysia
- Operasi Op Rentas tangkap 30 individu termasuk pegawai agensi penguat kuasa, pemilik syarikat dan orang awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
