Pegawai Imigresen simpan RM1.5 juta dalam Tabung Haji, ASB

KUALA LUMPUR – Taktik licik pegawai imigresen yang disyaki bersekongkol dengan sindiket counter setting terbongkar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menemui wang simpanan mencecah jutaan ringgit serta barangan berharga dalam serbuan Op Rentas baru-baru ini.
TikTok rasmi SPRM mendedahkan, dalam serbuan itu seorang pegawai lelaki dikesan menyimpan kira-kira RM1.5 juta dalam akaun miliknya dan ahli keluarga.
“Hasil siasatan mendapati lebih RM1 juta ditemui dalam akaun Tabung Haji atas nama suspek, isteri dan anak-anak, manakala lebih RM400,000 lagi disimpan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).
“Selain itu, pegawai terbabit turut memiliki barang kemas bernilai anggaran RM60,000 serta wang tunai berjumlah RM13,900,” katanya pada Isnin.

SPRM Kuala Lumpur dalam serbuan sama turut merampas wang tunai RM150,000 termasuk RM125,000 yang ditemui di atas bumbung rumah seorang pegawai wanita.
Turut dirampas daripadanya ialah barang kemas bernilai RM15,000.
Sementara itu, seorang lagi pegawai wanita turut dikesan menyimpan barang kemas bernilai RM80,000, wang tunai RM41,470 serta mata wang Thailand berjumlah 13,300 baht.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai menerima wang rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga asing tanpa mengikut prosedur sah.

“Ketiga-tiga mereka disyaki bersekongkol dengan sindiket counter setting yang mengatur kemasukan warga negara asing ke negara ini tanpa mengikut saluran betul,” katanya.
Beliau berkata, operasi khas itu dilaksanakan serentak di empat negeri oleh Bahagian Perisikan SPRM sejak Selasa lalu.
“SPRM akan terus membongkar kegiatan pengkhianatan amanah ini yang bukan sahaja merosakkan integriti penjawat awam malah menggugat keselamatan negara,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA).
Ringkasan AI
- Pegawai imigresen disyaki bersekongkol dengan sindiket counter setting terbongkar oleh SPRM Kuala Lumpur yang menemui wang dan barang berharga
- Seorang pegawai lelaki menyimpan kira-kira RM1.5 juta dalam akaun miliknya dan ahli keluarga termasuk dalam Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera
- Pegawai itu juga memiliki barang kemas bernilai RM60,000 dan wang tunai RM13,900
- Dalam serbuan yang sama, SPRM merampas wang tunai RM150,000 dan barang kemas bernilai RM15,000 daripada seorang pegawai wanita
- Ketiga-tiga suspek dipercayai menerima wang rasuah untuk memudahkan kemasukan warga asing tanpa prosedur sah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

