Gali punca 'counter setting'

DI MANA silapnya rasuah di pintu masuk negara. Sejauh mana benarnya kelemahan prosedur kawalan pintu masuk dan dasar kemasukan warga asing kemungkinan dikatakan antara punca wujudnya sindiket 'counter setting'.
Adakah masalah integriti punca utama? Itu yang harus diperdebatkan.
Isu sedemikian semakin meledak apabila baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pegawai penguat kuasa yang terlibat menerima rasuah daripada sindiket bagi 'melepaskan' warga asing tanpa melalui prosedur sepatutnya.
Kalau dilihat biar pun beberapa tahun kebelakangan kes ini dilaporkan dan langkah menanganinya dilakukan, namun kes masih berlaku hari ini. Ini persoalannya.
Adakah sindiket semakin berani dan berleluasa?
'Counter setting' merupakan kerjasama antara pegawai penguat kuasa di pintu masuk seperti di lapangan terbang.
Amalan ini melibatkan pemberian insentif daripada pihak sindiket kepada pegawai bertugas bagi memudahkan kemasukan individu yang tidak layak.
Naratifnya perkara ini memberi impak negatif kepada jabatan penguat kuasa terlibat serta bentuk ancaman keselamatan negara kerana sudah pasti melibatkan elemen jenayah terancang.
Warga asing yang masuk tanpa kelayakan ini juga berpotensi terlibat dengan aktiviti jenayah. Amat dibimbangi sekiranya mereka merupakan ahli kumpulan militan dan seumpamanya. Ini amat bahaya.
Terbaharu, SPRM menahan sekurangnya 18 pegawai penguat kuasa di beberapa negeri selain sitaan pelbagai aset dan akaun bank bernilai jutaan ringgit. Sudah pasti isu rasuah akan terus menjadi persoalan.
Ogos lalu, media melaporkan seramai 26 anggota dan pegawai penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibuang kerja tahun lalu kerana terbabit dengan sindiket 'counter setting'.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, bagi 2023, sebanyak lapan individu turut dikenakan tindakan sama.
Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga menyifatkan kegiatan sindiket 'counter setting', 'flying pasport', 'u-turn' dan 'phantom travellers' di pintu masuk negara memberikan wajah hodoh kepada agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Ringkasan AI
- Kes rasuah di pintu masuk negara melibatkan kerjasama antara pegawai penguat kuasa dan sindiket untuk memudahkan kemasukan warga asing tanpa layak
- Isu ini telah menjadikan integriti pegawai terlibat dipertikaikan dan menimbulkan ancaman keselamatan negara
- Baru-baru ini SPRM menahan pegawai penguat kuasa yang menerima rasuah dari sindiket
- Seramai 18 pegawai telah ditahan oleh SPRM dan aset bernilai jutaan ringgit disita
- Aktiviti sindiket counter setting dianggap memburukkan imej agensi penguat kuasa seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
