Buaya muncul di pantai peranginan: Amaran ekologi atau ancaman pelancongan?

Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai buaya di Pantai Teluk Bahang berjaya ditangkap.
Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai buaya di Pantai Teluk Bahang berjaya ditangkap.
A
A
A

KEHADIRAN seekor buaya sepanjang kira-kira satu meter yang muncul di pantai peranginan Teluk Bahang, Pulau Pinang pada Selasa mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk serta pelancong.

Kejadian pertama kali berlaku di pantai itu yang dikenal pasti bukan habitat asalnya menimbulkan pelbagai persoalan berkaitan aspek keselamatan, ekologi dan pengurusan habitat hidupan liar.

Pantai peranginan sering menjadi destinasi rekreasi utama bagi keluarga, pelancong domestik mahupun antarabangsa dan kehadiran sang bedal ini walaupun kecil boleh mencetuskan panik, sekali gus menjejaskan keyakinan orang ramai untuk berkunjung.

Implikasi paling ketara ialah risiko serangan meskipun kes seperti ini jarang berlaku di kawasan Semenanjung apabila cepat disedari pengunjung.

Antara kawasan yang pernah dilaporkan mengenai kemunculan buaya adalah pantai Paka, Terengganu; Teluk Batik, Perak dan pantai Cermin, Port Dickson.

Buaya air masin atau crocodylus porosus adalah spesies yang hidup di muara sungai, pantai, dan laut mampu bertindak agresif, terutama jika merasa terancam atau lapar.

Oleh itu, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan tidak boleh mengambil ringan isu ini. Langkah kawalan seperti rondaan berkala, papan tanda amaran, dan makluman segera kepada pengunjung perlu diutamakan.

Kemunculan buaya di kawasan pantai ini sering dikaitkan dengan perubahan habitat semula jadi akibat pembangunan pesat, hakisan pantai dan gangguan ekosistem sungai yang menjadi laluan utama reptilia ini.

Gangguan manusia akibat aktiviti menangkap ikan, bot nelayan atau rekreasi boleh mengganggu buata sehinga ia keluar ke perairan terbuka.

Artikel Berkaitan:

Ada kemungkinan buaya berkenaan hanyut ke kawasan pantai akibat hujan lebat atau banjir yang menolak reptilia itu keluar dari habitat asalnya seperti di Ban Pecah, Perak apabila habitat buaya bersebelahan dengan pantai.

Situasi ini boleh menjadi petanda awal ketidakseimbangan ekologi, sekali gus menuntut kajian lanjut daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Selain keselamatan, insiden ini juga menyentuh soal sosioekonomi yang mana industri pelancongan yang bergantung kepada imej pantai sebagai lokasi selamat dan mesra pengunjung boleh terjejas jika isu tidak ditangani dengan baik.

Pendekatan lebih proaktif dalam menguruskan pertembungan manusia dengan hidupan liar dipertingkatkan dengan pemetaan habitat buaya dengan mengenal pasti kawasan potensi kehadiran buaya berdasarkan corak pergerakan dan musim.

Selain itu, koordinasi agensi antaranya Perhilitan, pihak berkuasa tempatan, dan operator pelancongan serta badan penyelamat perlu dilakukan.

Kesedaran awam juga penting dalam mendidik pengunjung agar lebih peka terhadap persekitaran pantai termasuk melaporkan segera jika ternampak kelibat reptilia berbahaya.

Kemunculan buaya di kawasan pantai peranginan ini harus dilihat lebih daripada sekadar insiden terpencil. Isu ini menekankan kepentingan menjaga habitat semula jadi sambil memastikan pembangunan tidak mengorbankan ruang hidup hidupan liar.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!