Buaya di Pantai Teluk Bahang berjaya ditangkap

Buaya Tembaga sepanjang 3.66 meter berjaya ditangkap dalam operasi khas pada jam 6.15 petang Selasa.
Buaya Tembaga sepanjang 3.66 meter berjaya ditangkap dalam operasi khas pada jam 6.15 petang Selasa.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seekor buaya sepanjang lebih tiga meter yang muncul di Pantai Teluk Bahang di sini berjaya ditangkap pada jam 6.15 petang, Selasa.

Reptilia tersebut ditangkap dalam operasi khas membabitkan 20 anggota daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Perhilitan, serta dibantu nelayan tempatan.

Haiwan liar itu berjaya ditangkap selepas lebih sejam operasi dijalankan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata, percubaan pertama dengan bantuan bot dan pukat nelayan gagal apabila pukat yang digunakan pecah.

"Pada percubaan pertama, kita berjaya menarik buaya itu ke pantai, namun pukat pecah dan buaya lari semula ke dalam laut.

"Bagaimanapun, dalam percubaan kedua pada jam 6 petang, buaya berjaya ditangkap dan selamat dibawa ke pantai," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Percubaan kedua menggunakan pukat berjaya menangkap buaya berkenaan.
Percubaan kedua menggunakan pukat berjaya menangkap buaya berkenaan.

Menurutnya, buaya jenis tembaga itu mempunyai panjang 3.66 meter.

"APM menerusi pasukan penyelamat pantai akan terus memantau kawasan sekitar, sama ada di pantai atau kawasan laut menggunakan bot bagi memastikan tiada lagi ancaman buaya.

Artikel Berkaitan:

"Orang awam dinasihatkan berhati-hati semasa mandi-manda atau beriadah di sekitar pantai berkenaan. Sebarang makluman jika ternampak buaya, orang ramai boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Kawalan Operasi Negeri APM Pulau Pinang di 04-226 3876," ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk, Abdul Rahman Mohamed, 50-an, berkata, kemunculan haiwan liar tersebut amat merisaukan kerana kawasan berkenaan merupakan tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.

"Kami penduduk tempatan memang risau kerana kawasan ini adalah lokasi tumpuan orang ramai beriadah. Jika tidak dapat ditangkap, kami bimbang akan berlaku perkara tidak diingini.

"Namun selepas berjaya ditangkap, rasa lega sebab buaya itu tidak lagi berkeliaran di sini," katanya.

Terdahulu, pengunjung dan penduduk di kawasan Pantai Teluk Bahang dikejutkan dengan kemunculan buaya sepanjang lebih tiga meter pada petang Selasa.

Buaya berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan seterusnya.
Buaya berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan seterusnya.

Menurut maklumat awal, reptilia itu mula kelihatan timbul di permukaan air kira-kira jam 3.30 petang selepas orang awam ternampak kelibatnya berhampiran sebuah hotel di tepi pantai.

Empat anggota APM Pulau Pinang kemudiannya bergegas ke lokasi sebaik menerima aduan bagi melakukan pemantauan dan usaha menangkap buaya berkenaan.

Susulan penemuan mengejutkan itu, orang ramai, nelayan serta pengunjung pantai segera menjauhkan diri dari kawasan terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Ringkasan AI

  • Seekor buaya sepanjang lebih tiga meter ditangkap di Pantai Teluk Bahang, George Town
  • Operasi menangkap buaya melibatkan 20 anggota dari APM, Jabatan Bomba, Jabatan Perhilitan, dan nelayan tempatan
  • Percubaan pertama gagal kerana pukat pecah tapi buaya akhirnya ditangkap selepas lebih sejam operasi
  • Buaya tersebut merupakan jenis tembaga dengan panjang 3.66 meter
  • Penduduk merasa lega dengan penangkapan buaya memandangkan kawasan pantai tersebut merupakan lokasi tumpuan orang ramai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!