Pulau Pinang tersenarai 10 Destinasi Pelancongan Terbaik Asia 2025

Pulau Pinang tersenarai 10 Destinasi Pelancongan Terbaik Asia 2025.
Pulau Pinang tersenarai 10 Destinasi Pelancongan Terbaik Asia 2025.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pulau Pinang sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila tersenarai dalam 10 Destinasi Pelancongan Terbaik Asia 2025 oleh majalah pelancongan antarabangsa, Smart Travel Asia.

Dalam pengumuman itu, Bangkok, Thailand dinobatkan sebagai destinasi nombor satu, diikuti Tokyo, Jepun dan Bali, Indonesia yang berkongsi tempat kedua, manakala Chiang Mai, Thailand berada di kedudukan ketiga.

Pulau Pinang pula berkongsi kedudukan ketujuh bersama Singapura dan Siem Reap/Angkor, Kemboja manakala Kuala Lumpur di tangga kelapan bersama Phu Quoc, Vietnam dan Maldives.

Sabah turut melengkapkan senarai dengan berada di tempat kesepuluh.

Turut tersenarai, Hotel Eastern & Oriental (E&O) Pulau Pinang yang diiktiraf antara 10 Hotel Perkahwinan Terbaik Asia, sekali gus mengangkat nama negeri ini di peringkat antarabangsa.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, pengiktirafan itu jelas membuktikan Pulau Pinang terus menjadi pilihan utama pelancong serata dunia.

“Kedudukan Pulau Pinang dalam senarai ini amat membanggakan kerana ia menunjukkan usaha kerajaan negeri bersama pemain industri pelancongan membuahkan hasil.

“Selain tarikan budaya, warisan, makanan dan seni bina, faktor hospitaliti serta promosi berterusan turut membantu menjadikan Pulau Pinang antara destinasi paling digemari,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pencapaian itu juga diyakini mampu meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong asing ke negeri berkenaan menjelang tahun depan.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan terus memperkukuhkan usaha mempromosi Pulau Pinang, bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan malah lokasi acara antarabangsa dan perkahwinan bertaraf dunia.

"Tahniah Pulau Pinang," katanya.

Sebelum ini, Pulau Pinang tersenarai dalam kelompok 10 pulau terbaik di rantau Asia Pasifik bagi tahun 2025.

Pengiktirafan itu diumumkan dalam Travel + Leisure Luxury Awards Asia Pacific 2025, sebuah portal anugerah berprestij yang menilai dan memberi pengiktirafan kepada bandar dan pulau peranginan terbaik berdasarkan undian pembaca dari seluruh dunia.

Selain Pulau Pinang, destinasi lain yang turut tersenarai termasuk Bali (Indonesia), Koh Samui dan Phuket (Thailand), Phu Quoc (Vietnam), Palawan dan Siargao (Filipina), Langkawi (Malaysia), Sri Lanka dan Sumba (Indonesia).

Pulau Pinang pula disifatkan sebagai destinasi yang bukan hanya kaya dengan warisan dan seni bina kolonial, tetapi menawarkan pengalaman gastronomi pelbagai cita rasa dan bertaraf dunia.

Negeri ini terus menarik pelancong dari pelbagai negara dengan pantainya yang cantik, suasana santai dan pelbagai acara kebudayaan yang mempamerkan identiti Malaysia yang penuh warna-warni.

 

Ringkasan AI

  • Pulau Pinang tersenarai dalam 10 Destinasi Pelancongan Terbaik Asia 2025 oleh Smart Travel Asia
  • Berkongsi kedudukan ketujuh bersama Singapura dan Siem Reap/Angkor, Kemboja
  • Hotel Eastern & Oriental Pulau Pinang antara 10 Hotel Perkahwinan Terbaik Asia
  • Pengiktirafan menunjukkan Pulau Pinang pilihan utama pelancong serata dunia
  • Pulau Pinang kaya dengan warisan, seni bina kolonial dan pengalaman gastronomi pelbagai cita rasa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!