Ibu tunggal raih rezeki melimpah hasil etok salai viral

Wan Rosmani (tengah) berasal dari Kelantan sudah hampir 20 tahun berniaga etok namun peningkatan ketara hanya dirasai sejak kisahnya mendapat perhatian orang ramai di platform digital.
Wan Rosmani (tengah) berasal dari Kelantan sudah hampir 20 tahun berniaga etok namun peningkatan ketara hanya dirasai sejak kisahnya mendapat perhatian orang ramai di platform digital.
A
A
A

SHAH ALAM – Perniagaan etok salai milik seorang ibu tunggal semakin mendapat sambutan luar biasa selepas rakaman mengenai dirinya tular di media sosial, sekali gus membuka peluang rezeki lebih luas.

Wan Rosmani Wan Hassan, 46, berasal dari Kelantan berkata, dia sudah hampir 20 tahun berniaga etok, namun peningkatan ketara hanya dirasai sejak kisahnya mendapat perhatian orang ramai di platform digital.

“Kalau dulu, satu guni (35 kilogram) etok ambil masa tiga hingga empat hari untuk habis.

“Sekarang sehari boleh habis sampai empat ke lima guni. Alhamdulillah, sambutan makin baik sejak video itu tersebar,” katanya kepada Sinar Harian.

Antara etok salai yang dihasilkan oleh Kak Ros.
Antara etok salai yang dihasilkan oleh Kak Ros.

Video berkenaan pada asalnya dirakam ketika beliau dipilih menerima tajaan menunaikan umrah oleh Ikhlasdotcom, yang turut memaparkan kisah perjuangannya membangunkan perniagaan etok salai. Pendedahan itu membuatkan nama Wan Rosmani, atau lebih mesra dipanggil Kak Ros, semakin dikenali.

Wan Rosmani yang kini menetap di Sungai Buloh selepas kematian suaminya pada 2017 berkata, perniagaan etok itu bermula secara kecil-kecilan sebelum berpindah ke Lembah Klang bersama anak-anak.

“Saya pindah sini sebab nak duduk dekat dengan adik-beradik. Sekarang ini meniaga dengan dua orang anak yang masih bujang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, etok salai yang dijual ditawarkan dalam pelbagai perisa termasuk original, tomyam, pedas manis dan paprika pada harga RM6 sebungkus.

“Dulu masa mula-mula, satu guni pun lambat habis. Tapi lepas tular, sehari pun boleh habis banyak guni. Kadang stok tak cukup sampai terpaksa cuti berniaga sementara waktu,” ujarnya yang berniaga di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor.

Mengulas pengalaman menunaikan umrah baru-baru ini, beliau menyifatkannya sebagai momen paling istimewa apabila terpilih menerima tajaan selepas menghantar permohonan.

“Waktu itu ayah baru sahaja meninggal dunia, tiga hari kemudian saya dapat tahu terpilih untuk ke Tanah Suci. Alhamdulillah, saya anggap itu rezeki selepas menjaga orang tua,” katanya.

Wan Rosmani menambah, selepas namanya dikenali ramai, beliau berharap momentum tersebut dapat mengekalkan kelangsungan perniagaan walaupun persaingan semakin mencabar.

“Insya-ALLAH saya mahu terus berusaha, kalau ada rezeki lebih mungkin dapat tambah baik perniagaan dan bantu anak-anak pula,” ujarnya.

 

Ringkasan AI

  • Perniagaan etok salai milik ibu tunggal mendapat sambutan luar biasa selepas video tular di media sosial
  • Wan Rosmani Wan Hassan, peniaga etok selama hampir 20 tahun, merasai peningkatan jualan ketara setelah perhatian di media sosial
  • Dulu, satu guni etok habis dalam tiga hingga empat hari, kini empat hingga lima guni boleh habis dalam sehari
  • Perniagaan yang bermula kecil-kecilan ini kini dijalankan bersama dua anak bujangnya di Sungai Buloh
  • Wan Rosmani berharap untuk terus berkembang dan membantu anak-anak walaupun persaingan semakin mencabar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!