Etok salai jadi rezeki, jualan meningkat selepas video tular

SHAH ALAM – Perniagaan etok salai milik seorang ibu tunggal semakin mendapat sambutan luar biasa selepas rakaman mengenai dirinya tular di media sosial, sekali gus membuka ruang rezeki lebih luas.
Wan Rosmani Wan Hassan, 46, berasal dari Kelantan berkata, dia sudah hampir 20 tahun berniaga etok namun peningkatan ketara hanya dirasai sejak kisahnya mendapat perhatian orang ramai di platform digital.
“Kalau dulu, satu guni (35 kilogram) etok ambil masa tiga hingga empat hari untuk habis.
“Sekarang sehari boleh habis sampai empat ke lima guni. Alhamdulillah, sambutan makin baik sejak video itu tersebar,” katanya kepada Sinar Harian.
Video berkenaan pada asalnya dirakam ketika dia dipilih menerima tajaan menunaikan umrah oleh Ikhlasdotcom sebelum turut memaparkan kisah perjuangannya membangunkan perniagaan etok salai.
Pendedahan itu membuatkan nama Wan Rosmani atau mesra dipanggil Kak Ros lebih dikenali.
Wan Rosmani yang kini menetap di Sungai Buloh selepas kematian suami pada 2017 menjelaskan, perniagaan etoknya bermula secara kecil-kecilan sebelum berpindah ke Lembah Klang bersama anak-anak.

“Saya pindah sini sebab nak duduk dekat dengan adik-beradik. Sekarang ini meniaga dengan dua orang anak yang masih bujang,” katanya.
Menurutnya, etok yang dijual ditawarkan dalam pelbagai perisa termasuk original, tomyam, pedas manis dan paprika dengan harga RM6 sebungkus.
“Dulu masa mula-mula, satu guni pun lambat habis. Tapi lepas tular, sehari pun boleh habis banyak guni. Kadang stok tak cukup sampai terpaksa cuti berniaga sementara waktu,” ujarnya yang berniaga di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor.
Mengulas pengalaman menunaikan umrah baru-baru ini, dia menyifatkan ia sebagai momen paling istimewa apabila terpilih menerima tajaan selepas menghantar permohonan.
“Waktu itu ayah baru sahaja meninggal dunia, tiga hari kemudian saya dapat tahu terpilih untuk ke Tanah Suci. Alhamdulillah, saya anggap itu rezeki selepas menjaga orang tua,” katanya.
Wan Rosmani menambah, selepas namanya dikenali ramai, dia berharap momentum tersebut dapat mengekalkan kelangsungan perniagaan walaupun persaingan semakin mencabar.
“Insya-ALLAH saya mahu terus berusaha, kalau ada rezeki lebih mungkin dapat tambah baik perniagaan dan bantu anak-anak pula,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Perniagaan etok salai milik ibu tunggal mendapat sambutan hebat selepas tular di media sosial
- Wan Rosmani telah berniaga etok selama hampir 20 tahun dengan peningkatan ketara sejak tular di media sosial
- Sebelum tular, satu guni etok mengambil masa tiga hingga empat hari untuk habis tetapi kini sehari boleh habis hingga lima guni
- Wan Rosmani menetap di Sungai Buloh dan menjalankan perniagaan bersama dua anak bujangnya
- Etok dijual dalam pelbagai perisa dengan harga RM6 sebungkus dan kerap kali kehabisan stok selepas perniagaan tular
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
