PDRM catat jumlah tertinggi penjawat awam diberi pengiktirafan SPRM

Ahmad Khusairi (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 14 Bil 1 Tahun 2025 di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Selasa.
Ahmad Khusairi (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 14 Bil 1 Tahun 2025 di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendahului senarai kumpulan penjawat awam yang diberikan pengiktirafan serta ganjaran kerana membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pemberian atau penerimaan rasuah bagi tempoh sejak 2012 hingga tahun lalu.

Pegawai dan anggota PDRM menjadi penerima teramai dalam kalangan 550 calon penjawat awam bagi tempoh itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, dalam tempoh tersebut, PDRM mendahului penerima ganjaran seramai 386 orang.

Menurutnya, jumlah itu diikuti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) (48 orang), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) (25 orang) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (15 orang) manakala selebihnya lain-lain agensi kerajaan.

"Ia melibatkan jumlah ganjaran sebanyak RM1.14 juta.

"Pengiktirafan ini bukan sahaja melambangkan penghargaan terhadap integriti penjawat awam tetapi menjadi satu dorongan dan contoh kepada penjawat awam lain,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 14 Bil 1 Tahun 2025 di Bilik Mesyuarat Utama Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa.

Dalam majlis itu, seramai 43 penjawat awam daripada lima jabatan dan agensi kerajaan dari seluruh negara akan diberikan pengiktirafan serta ganjaran kerana membuat aduan kepada SPRM mengenai pemberian atau penerimaan rasuah.

Kata Ahmad Khusairi, kesemua penjawat awam ini juga telah menjalani Sistem Tapisan Keutuhan SPRM dan layak menerima ganjaran yang diluluskan membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM46,000.

“Tujuan mesyuarat ini untuk mengiktiraf penjawat awam yang telah menunjukkan integriti tinggi dengan melaporkan aktiviti rasuah yang berlaku kepada SPRM dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan.

Artikel Berkaitan:

"Mesyuarat ini diadakan berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) pada 19 Ogos 2010 yang telah bersetuju agar suatu pengiktirafan diberikan kepada mana-mana penjawat awat yang melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah," ujarnya.

Kata beliau, lanjutan daripada itu, Ketua Setiausaha Negara telah mengeluarkan Surat Pekeliling bertarikh 11 Mei 2011 berkaitan Garis Panduan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah’ berkuatkuasa mulai 1 Jun 2011.

"Antara kriteria yang melayakkan penjawat awam tersebut hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai SPRM yang menyiasat kesalahan yang telah dilaporkan sehingga perbicaraan kes tersebut selesai termasuk hadir ke mahkamah untuk memberikan apa-apa keterangan dalam perbicaraan kes itu, jika perlu," katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan 1 Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Razali Che Ani; Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus serta Pengarah Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan SPRM, Datuk Sukairi Samsudin.

Ringkasan AI

  • Polis Diraja Malaysia mendahului senarai penerima ganjaran SPRM untuk aduan rasuah sejak 2012 hingga tahun lalu
  • Seramai 386 anggota PDRM menerima pengiktirafan
  • Jumlah ganjaran yang diberikan adalah sebanyak RM1.14 juta
  • Pengiktirafan ini bertujuan sebagai dorongan integriti kepada penjawat awam
  • Garis panduan dikeluarkan pada 11 Mei 2011 bagi penjawat awam yang melaporkan rasuah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!