'Saya pencinta haiwan, nafi zalimi alpaka' - Pemilik restoran 'mini zoo'

Mohd Noor Helmy (dua dari kiri) dan Shadan (tiga dari kiri) ketika bertanya sesuatu kepada pemilik restoran itu (kanan) ketika operasi berkenaan.
Mohd Noor Helmy (dua dari kiri) dan Shadan (tiga dari kiri) ketika bertanya sesuatu kepada pemilik restoran itu (kanan) ketika operasi berkenaan.
A
A
A

MELAKA – Pemilik restoran mi segera yang tular kerana mempamerkan alpaka sehingga dikecam netizen mengakui dirinya pencinta haiwan dan menolak dakwaan menzalimi haiwan spesies unta itu.

Warga Singapura berusia 31 tahun berkata, dia memiliki sepasang alpaka diimport dari Australia pada harga keseluruhan RM43,000, namun hanya alpaka jantan berusia 10 bulan yang dinamakan Jenter dipamerkan di restoran yang mempunyai seramai empat orang pekerja tempatan itu.

Menurutnya, seekor lagi alpaka betina disimpan di rumah

Tegasnya, dia begitu menyayangi binatang tersebut yang didakwa pandai menutup lampu menggunakan hidung selain memberi respon ketika dia sedang bercakap menggunakan telefon bimbit.

“Saya faham ada yang marah, kononnya saya menzalimi alpaka ini.

"Sedangkan saya memang menyayangi haiwan itu termasuk kucing, malah membelinya dengan harga RM20,000 seekor, mana mungkin menganiayanya," katanya.

Mohd Noor Helmy (kiri) melihat alpaka yang tular di media sosial baru-baru ini.
Mohd Noor Helmy (kiri) melihat alpaka yang tular di media sosial baru-baru ini.

Namun pemuda yang dikenali sebagai Ong itu mengakui silapnya kerana mempamerkan haiwan di kedai makan, namun dia tidak akan berputus asa dalam perniagaan makanan walaupun dikenakan dua kompaun.

Artikel Berkaitan:

"Selepas ini saya akan perkemaskan semula permohonan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

"Saya juga akur dengan arahkan penutupan selama tujuh hari dan akan segera memindahkan kesemua binatang tersebut ke tempat sepatutnya selain membersihkan kawasan restoran ini," katanya yang turut mempunyai sebuah lagi kedai makan di Jalan Jonker.

Sementara itu, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, berkata, beliau akan meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka merangka garis panduan khusus bagi aktiviti sedemikian.

Menurutnya, dari sudut pelancongan, konsep seperti ini sebenarnya berpotensi menjadi tarikan kerana mampu menarik minat pengunjung, terutama kanak-kanak, untuk lebih dekat dengan haiwan.

Ujarnya, bagaimanapun perlu ada ketetapan jelas mengenai pengurusan kerana ini bukanlah haiwan-haiwan yang membuat persembahan.

“Sebagai contoh, jika mahu mengadakan mini zoo adakah haiwan itu wajar disimpan di dalam bilik atau perlu dilepaskan semula ke habitat yang lebih sesuai, seperti di zoo.

"Ini penting supaya tidak menjejaskan sifat semula jadi haiwan terutama haiwan seperti alpaka," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan

 

 

Sebuah restoran mi segera yang menimbulkan bau hamis haiwan dan tular mempamerkan alpaka sejak beberapa bulan lalu akhirnya diserbu pasukan penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam operasi tengah malam Isnin.

Serbuan jam 12 tengah malam yang diketuai Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman mengambil tindakan drastik dengan mengarahkan perniagaan dimiliki lelaki itu menutup restoran tersebut selama tujuh hari bagi melakukan kerja-kerja pembersihan selain mengeluarkan kompaun berjumlah RM10,250.

Shadan berkata, selain arahan penutupan sehingga Ahad ini, MBMB turut mengeluarkan dua kompaun iaitu RM10,000 atas kesalahan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2001 dan RM250 kerana melanggar syarat Undang-undang kecil Petempatan Makanan (MBMB) 2020.

 

 

Ringkasan AI

  • Pemilik restoran mi segera di Melaka yang mempamerkan alpaka mengakui dirinya pencinta haiwan dan menolak dakwaan menzalimi haiwan tersebut
  • Dia memiliki sepasang alpaka diimport dari Australia pada harga RM43,000 namun hanya mempamerkan alpaka jantan di restorannya
  • Pemilik merasa bersalah kerana mempamerkan haiwan di kedai makan dan akan memperkemaskan semula permohonan mengikut undang-undang
  • Restoran tersebut akhirnya diserbu oleh pasukan penguat kuasa untuk melakukan pembersihan dan pemilik dikenakan dua kompaun
  • Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem mencadangkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka merangka garis panduan khusus bagi aktiviti mempamerkan haiwan secara etika

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!