NGO cadang anjing liar diserah kepada Pencinta Haiwan, bukan terus dilupuskan

Wakil 18 NGO yang menghantar memorandum menyokong usaha kerajaan negeri menoktahkan isu anjing liar.
Wakil 18 NGO yang menghantar memorandum menyokong usaha kerajaan negeri menoktahkan isu anjing liar.
A
A
A

SEREMBAN - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan supaya anjing liar yang ditangkap diserahkan kepada NGO Pencinta Haiwan untuk diuruskan dan bukannya terus dilupuskan.

Cadangan itu antara yang dikemukakan 18 NGO dari kawasan Nilai dalam memorandum yang dihantar kepada Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan pada Rabu.

NGO berkenaan terdiri daripada Kawasan Rukun Tetangga(KRT), persatuan penduduk, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, surau serta masjid yang diketuai Ketua Pemuda Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Negeri Sembilan, Syed Alwi Syed Jaafar.

Syed Alwi (dua dari kanan) menyerahkan memorandum kepada Nor Azman.
Syed Alwi (dua dari kanan) menyerahkan memorandum kepada Nor Azman.

Menurut Syed Alwi, memorandum tersebut bagi menyokong usaha kerajaan negeri menoktahkan isu anjing liar yang semakin membimbangkan selain telah mengancam keselamatan awam.

"Jadi dalam memorandum itu, kita telah memberi beberapa cadangan kepada kerajaan negeri bagi mengatasi masalah anjing liar ini.

"Antaranya ialah kerajaan negeri dicadang bekerjasama dengan NGO Pencinta Haiwan melalui pihak berkuasa tempatan yang ditugaskan menangkap haiwan itu.

"Jadi setiap tangkapan yang dilakukan perlu maklumkan kepada NGO Pencinta Haiwan dan beri masa tiga hari kepada mereka untuk ambil anjing-anjing itu," katanya ditemui pemberita pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, NGO Pencinta Haiwan perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan mengambil haiwan tersebut dalam tempoh tiga hari bagi mengelakkan tindakan selanjutnya dilakukan.

Pada masa sama katanya, perlu dibuat jadual terperinci untuk operasi menangkap haiwan tersebut.

Ini kerana katanya, pihaknya menerima aduan pihak kontraktor dilantik tidak bertindak mengikut aduan dibuat.

"Contohnya, penduduk buat aduan lima ekor anjing, tapi kontraktor hanya menangkap seekor saja dan kemudiannya aduan itu ditutup.

"Kita harap selepas ini tindakan penyelesaian di sesuatu tempat itu dibuat secara menyeluruh mengikut aduan diterima,"katanya.

Beliau berkata, masyarakat semua perlu memahami bahawa tindakan kerajaan negeri mengatasi isu anjing liar itu kerana ia melibatkan isu keselamatan rakyat.

Ini kerana katanya, telah ramai yang cedera termasuk kehilangan nyawa disebabkan haiwan terbabit.

"Jadi kita mohon kerajaaan negeri untuk memberi kesedaran tentang bahaya anjing liar ini kerana tindakan diambil adalah untuk menjamin keselamatan rakyat dan bukannya disebabkan perbezaan agama.

"Serangan anjing itu boleh berlaku kepada semua, bukan orang Islam saja. Jadi sebab itu pentingnya ada tindakan diambil," katanya.

Terdahulu, memorandum tersebut diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar yang diwakili Setiausaha Politik Menteri Besar, Nor Azman Mohamad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!