Bezalel Smotrich wajah haloba Zionis

TEL AVIV - Pemimpin 'ekstremis' ini tidak pernah lekang dengan kontroversi kerana pandangan radikalnya yang secara terang-terangan menyemai sentimen anti-Arab dan anti-Palestin.
Bezalel Smotrich, 45, menjadi pemimpin sayap kanan di Knesset (Parlimen) Israel dengan manifesto keji mahu mengilhak Tebing Barat dan dinamakan sebagai pemimpin paling banyak menerima kutukan komuniti antarabangsa selain Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Dia mewakili puak ultranasionalis membuat tuntutan mengarut agar Tel Aviv menempatkan semula komuniti Yahudi di Gaza malah mengancam mahu meruntuhkan kerajaan goyah pimpinan Netanyahu jika menghentikan perang genosid di wilayah tersebut.

Ketika peperangan berlarutan selama hampir dua tahun, Smotrich yang bertanggungjawab menyelia projek penempatan haram Yahudi di Tebing Barat bertindak mengambil peluang untuk melaksanakan agenda jahat bagi menyekat prospek penubuhan negara Palestin yang merdeka.
Menteri Kewangan itu semakin besar kepala setelah projek penempatan haram E1 yang akan memisahkan Baitulmadis Timur dan Tebing Barat serta tertangguh sejak sekian lama akhirnya mendapat lampu hijau pemerintah.
Pelan pembangunan yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa itu bakal memutuskan laluan pengangkutan utama yang menghubungkan utara dan selatan Tebing Barat, sekali gus mewujudkan halangan besar kepada penyelesaian dua negara kepada konflik Israel-Palestin.
Pada akhir bulan lalu, Smotrich menghebahkan rancangan mahu mengilhak kira-kira empat perlima atau 82 peratus kawasan di wilayah tersebut.
Sejak menduduki Tebing Barat dan Baitulmaqdis sejak hampir enam dekad lalu, Israel telah membangunkan kira-kira 160 kawasan penempatan haram untuk menempatkan 700,000 pendatang Yahudi yang turut tinggal bersama kira-kira 3.3 juta penduduk Palestin di wilayah tersebut.
Tidak cukup mahu merampas Tebing Barat, Smotrich yang tamak haloba kini menyasarkan Gaza pula.
Dia sewenang-wenangnya menggelar wilayah yang binasa dibedil Zionis itu sebagai 'peluang besar hartanah' malah sudah berbincang dengan Amerika Syarikat (AS) untuk membahagikan enklaf tersebut selepas perang tamat.

“Pelan perniagaan kini terpulang kepada Presiden Donald Trump. Kami sudah selesai lakukan fasa pemusnahan dan tunggu masa bangunkannya semula. Kami telah habiskan banyak wang untuk perang ini.
“Jadi, kami perlu bahagikan untuk tentukan peratusan pada nilai tanah nanti,” katanya dengan angkuh tentang idea tersebut yang sebelum ini dibantah keras negara antarabangsa kerana bakal menyaksikan pengusiran paksa penduduk Palestin dari tanah air mereka.
Kerakusan melampau pemimpin Parti Religious Zionism itu menyebabkannya berdepan sekatan Britain dan beberapa negara lain kerana perbuatan berulang menghasut keganasan terhadap penduduk Palestin.
'Fasis homofobik'
Smotrich dilahirkan di Haspin, sebuah kawasan penempatan haram Yahudi di Bukit Golan pada 1980.
Dia kemudiannya membesar di Beit El di Tebing Barat dan mendapat pendidikan di sekolah berfahaman Zionisme, Yeshivat Mercaz Harav yang turut mengamalkan beberapa ajaran Yahudi Ortodoks.
Pada 2005, Smotrich menjadi aktivis haluan kanan dan melancarkan protes ganas membantah rancangan pemindahan komuniti Yahudi dari Gaza.
Dia ditahan bersama empat aktivis haluan kanan lain dan meringkuk di pusat tahanan selama kira-kira tiga minggu sebelum dibebaskan tanpa sebarang tuduhan jenayah.
Smotrich kemudiannya membentuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sayap kanan berpengaruh yang memfokuskan rancangan mahu merampas tanah di wilayah diduduki Israel, disusuli kemenangan pertama kerusi Knesset pada 2015.
Dia menggelar dirinya sebagai 'fasis homofobik' yang menyokong pengasingan wad bersalin Yahudi dan Arab serta menggesa serangan balas ke atas penduduk Palestin.
Setelah kerajaan haluan kanan ditubuhkan pada 2022, Smotrich bergabung dengan Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Gvir untuk memberi tekanan kepada Netanyahu.
Kedua-duanya sekepala apabila berulang kali menentang perjanjian gencatan senjata di Gaza dan menyebut tentang langkah pendudukan serta penempatan semula di wilayah tersebut yang sudah musnah teruk.
Bagi Smotrich, dia mempunyai 'kuasa lebih besar' kerana dapat mengawal keputusan Netanyahu yang sehingga kini terpaksa akur mengikut telunjuk puak 'ekstremis' di bawah kerajaan pimpinannya. - Agensi
Ringkasan AI
- Bezalel Smotrich, pemimpin sayap kanan di Knesset, mempunyai pandangan radikal anti-Arab dan anti-Palestin
- Smotrich berhasrat untuk mengilhak Tebing Barat dan mengancam akan meruntuhkan kerajaan Netanyahu jika menghentikan perang di Gaza
- Dia bertanggungjawab dalam projek penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan berusaha menghambat penubuhan negara Palestin merdeka
- Smotrich mengeluarkan rancangan untuk mengilhak 82 peratus wilayah Tebing Barat dan menyasarkan Gaza sebagai 'peluang hartanah' selepas perang
- Dia berdepan sekatan dari Britain dan beberapa negara lain kerana aksi menghasut keganasan terhadap penduduk Palestin dan menggelar dirinya 'fasis homofobik'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

