153 jeti haram atas tanah kerajaan akan diroboh bulan depan - Polis

Pihak berkuasa yang menampal notis dan memasang tali larangan rentas di jeti pangkalan haram.
Pihak berkuasa yang menampal notis dan memasang tali larangan rentas di jeti pangkalan haram.
A
A
A

KOTA BHARU – Sebanyak 153 jeti pangkalan haram yang dibina di atas tanah kerajaan di sepanjang Sungai Golok akan dirobohkan bermula Oktober ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, langkah tegas mengekang jenayah rentas sempadan itu melibatkan keseluruhan 212 jeti haram yang dikenal pasti di kawasan sempadan, termasuk di Tumpat dan Pasir Mas.

“Daripada jumlah keseluruhan, 153 jeti ini berada di tanah kerajaan yang mana ia menjadi keutamaan untuk dirobohkan.

“Baki 59 lagi terletak di tanah persendirian dan kini sedang diteliti dari sudut undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Ahad.

Beliau menjelaskan, notis berhubung peringatan awam bagi perobohan itu dikeluarkan dan ditampal di sebahagian jeti.

“Operasi perobohan Oktober ini akan diketuai Pejabat Tanah dan Galian dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk polis bagi memastikan keselamatan sepanjang tindakan berjalan.

“Setakat ini, kami tidak menerima apa-apa bantahan dan percaya orang ramai sudah faham usaha ini,” katanya.

Sebelum ini, larangan rentas sempadan melalui pangkalan haram diisytihar sejak Disember tahun lalu bagi mengekang penyeludupan dadah, senjata api dan pencerobohan yang mengancam keselamatan serta kedaulatan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusoff berkata, projek Lembangan Sungai Golok yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut menambah baik kawalan keselamatan sempadan dengan pembinaan 12 pos baharu.

Artikel Berkaitan:

“Dua daripadanya siap dan sudah diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Pos ini dilengkapi pagar serta kamera litar tertutup untuk pemantauan yang berterusan,” katanya.

Ringkasan AI

  • KOTA BHARU – Sebanyak 153 jeti pangkalan haram dibina di atas tanah kerajaan di sepanjang Sungai Golok akan dirobohkan bermula Oktober ini
  • Langkah tegas mengekang jenayah rentas sempadan melibatkan keseluruhan 212 jeti haram
  • Baki 59 jeti berada di tanah persendirian sedang diteliti dari sudut undang-undang
  • Operasi perobohan akan diketuai Pejabat Tanah dan Galian dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk polis
  • Projek Lembangan Sungai Golok menambah baik kawalan sempadan dengan pembinaan 12 pos baharu, dua daripadanya siap dan sudah diserahkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!