15,000 pencarum nikmati rawatan buah pinggang percuma

Steven (dua,kanan) bersama Anthony ketika meninjau operasi Pusat Rawatan Dialisis Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Seberang Jaya pada Sabtu.
Steven (dua,kanan) bersama Anthony ketika meninjau operasi Pusat Rawatan Dialisis Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Seberang Jaya pada Sabtu.
A
A
A

SEBERANG JAYA – Pembukaan Pusat Rawatan Dialisis Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Seberang Jaya memberi kemudahan kepada pencarum di wilayah Utara tanah air untuk mendapatkan rawatan buah pinggang.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pengoperasian pusat baharu itu bakal memberi manfaat kepada lebih 15,000 pencarum aktif seluruh negara yang sedang menjalani rawatan dialisis.

Menurutnya, pusat dialisis yang ditempatkan di bangunan PERKESO Seberang Jaya itu dilengkapi dengan kemudahan moden serta mampu menampung rawatan sehingga 36 pesakit sehari.

“Pesakit atau pencarum yang menerima rawatan di sini tidak perlu membayar apa-apa kerana kos ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO.

“Berbanding pusat swasta yang mengenakan caj sekitar RM200 setiap kali rawatan, pencarum hanya perlu menanggung subsidi RM150 sekali dialisis di panel luar. Namun, di pusat PERKESO ini, rawatan adalah percuma tanpa sebarang bayaran tambahan,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian pusat itu di sini, pada Sabtu.

Steven berkata, pusat tersebut juga melengkapkan ekosistem perkhidmatan PERKESO selain 800 pusat dialisis panel sedia ada melibatkan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jelasnya, selain Pulau Pinang, PERKESO kini mengendalikan lima pusat dialisis iaitu masing-masing dua di Selangor (Klang dan Shah Alam), Johor (Kluang dan Batu Pahat) serta sebuah di Kuala Lumpur.

Selain itu, tambah beliau, cawangan ketujuh dijangka dibuka di Seremban tidak lama lagi.

Beliau berkata, kewujudan pusat itu juga dapat membantu kerajaan menjimatkan kos jangka panjang memandangkan perbelanjaan PERKESO bagi rawatan dialisis semakin meningkat setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

“Pada 2020, seramai 13,000 pesakit memerlukan rawatan dengan kos RM293 juta. Namun, pada 2024, jumlah meningkat kepada 18,000 pesakit dengan kos hampir RM400 juta.

“Dengan adanya pusat kendalian sendiri, PERKESO mampu menjimatkan kos sehingga 30 peratus,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang mengumumkan peruntukan RM3.5 juta sebagai tajaan caruman Lindung Kendiri kepada 35,000 pemandu teksi, pemandu kereta sewa serta 15,000 pemandu bas di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Anthony berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan pekerja sendiri dalam sektor pengangkutan penumpang turut dilindungi sekiranya berlaku kemalangan.

“Ramai pemandu teksi dan kereta sewa bekerja sendiri tanpa majikan, jadi mereka sering terlepas membuat caruman keselamatan sosial.

“Dengan tajaan ini, sekurang-kurangnya 70 peratus kos ditanggung kerajaan, manakala bakinya ditanggung pencarum.

“Tetapi atas keprihatinan kita untuk memastikan tidak ada pemandu yang terlepas ataupun tidak memasuki skim ini, maka kita memberikan tajaan 30 peratus kepada semua pemandu teksi, kereta sewa dan juga bas yang terlibat,” katanya lagi.

Ringkasan AI

  • Pusat Rawatan Dialisis PERKESO dibuka di Seberang Jaya untuk kemudahan pencarum di wilayah Utara
  • Pusat ini mampu menampung rawatan untuk 36 pesakit sehari dan rawatan percuma tanpa bayaran tambahan
  • Pusat dialisis PERKESO adalah tambahan kepada ekosistem perkhidmatan PERKESO serta 800 pusat dialisis panel lain
  • PERKESO kini mengendalikan lima pusat dialisis di Malaysia dan pusat ketujuh dijangka dibuka di Seremban
  • Kewujudan pusat dialisis PERKESO dapat membantu kerajaan menjimatkan kos rawatan dialisis sehingga 30 peratus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!