Menyemai semangat patriotisme dan cinta tanah air melalui pelancongan

Melancong ke pelbagai destinasi dalam negara seperti Pulau Langkawi seperti sedang menjalani proses mengenali sejarah, memahami warisan, dan menjiwai budaya setempat. Gambar kecil: Mohd Hafiz
Melancong ke pelbagai destinasi dalam negara seperti Pulau Langkawi seperti sedang menjalani proses mengenali sejarah, memahami warisan, dan menjiwai budaya setempat. Gambar kecil: Mohd Hafiz
A
A
A

KITA sering mendengar ungkapan, jauh perjalanan luas pemandangan. Namun hakikatnya, melancong bukan sekadar aktiviti berseronok, berbelanja, atau menikmati panorama indah.

Ia sebenarnya cerminan kekuatan jiwa bangsa, wadah memperkukuh identiti, serta medan untuk menyuburkan nilai patriotisme dalam diri rakyat.

Persoalannya, sejauh mana kita benar-benar sedar tentang peranan besar pelancongan dalam membentuk rasa cinta kepada tanah air tercinta?

Pada hemat saya, patriotisme bukan hanya tentang mengibarkan Jalur Gemilang ketika bulan kemerdekaan, atau sekadar meraikan Hari Malaysia dengan penuh meriah.

Ia juga tentang menghargai ibu pertiwi dalam segala dimensi – alam semula jadi, warisan, budaya, sejarah dan rakyatnya.

Apabila kita melancong ke pelbagai destinasi dalam negara, seperti Pulau Langkawi, Taman Negara, Kundasang, atau bandar Georgetown, kita sebenarnya sedang menjalani proses mengenali sejarah, memahami warisan, dan menjiwai budaya setempat.

Pengalaman ini lebih bermakna apabila kita melawat destinasi warisan seperti di Melaka, Muzium Pasir Salak, atau Lembah Lenggong.

Secara tidak langsung, ia menguatkan semangat patriotisme dalam jiwa. Kita belajar bahawa negara ini dibina dengan pengorbanan, darah, dan air mata generasi terdahulu.

Begitu juga ketika menyusuri desa, berinteraksi dengan komuniti Orang Asli Batek di Taman Negara Pahang, atau melihat kehidupan nelayan di Kampung Seberang Takir, Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Dari situ kita menimba nilai kesederhanaan, kesyukuran, dan ketabahan – sesuatu yang buku teks tidak mampu sampaikan.

Namun ada yang bertanya, bagaimana pula melancong ke luar negara menyumbang kepada semangat patriotisme?

Bagi saya, perjalanan ke luar negara sebenarnya memberi manfaat dalam bentuk berbeza.

Melewati jalan-jalan di London, Seoul, atau Istanbul, saya tidak dapat lari daripada membandingkan taraf kemudahan, kebersihan, sistem pengangkutan, dan layanan masyarakat dengan apa yang kita miliki di Malaysia.

Melihat taman awam indah seperti Battery Park di New York, atau sistem metro yang efisien di Singapura, menimbulkan azam dalam diri bahawa Malaysia juga mampu bergerak ke arah itu – jika rakyatnya mempunyai kesedaran dan iltizam.

Lebih penting, pengalaman melancong ke luar negara menonjolkan perbezaan dan persamaan.

Saat saya menunaikan solat di masjid kecil di Istanbul, atau menikmati kopi di lorong sempit Hanoi, saya sedar bahawa Malaysia memiliki keistimewaan tersendiri.

Kita dianugerahkan kepelbagaian etnik – Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan banyak lagi – yang hidup bersama secara harmoni.

Dari pengalaman luar, kita belajar bahawa keharmonian ini bukan sesuatu yang biasa. Ia adalah aset negara, sumber patriotisme yang perlu dipelihara.

Benarlah kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Perjalanan ke luar tidak melemahkan kecintaan pada tanah air, sebaliknya meneguhkannya. Ia membuatkan kita insaf bahawa meskipun negara lain mempunyai kelebihan, tanah air sendiri tetap lebih dekat di hati.

Di sinilah letaknya peranan pendidikan dan generasi muda. Anak-anak kita perlu dididik bahawa melancong bukan sekadar menghasilkan konten media sosial, tetapi sebagai cara menimba pengalaman dan ilmu.

Institusi pendidikan wajar menjadikan pelancongan domestik sebagai sebahagian daripada kurikulum – agar sejarah tidak sekadar dibaca, tetapi dihayati.

Kerajaan pula mesti memastikan produk pelancongan kita diurus dengan baik, dengan infrastruktur mesra rakyat, agar pengalaman pelancongan memberi kesan mendalam bukan sahaja kepada pelancong luar, tetapi juga rakyat sendiri.

Patriotisme tidak boleh dipaksa. Ia tumbuh daripada kefahaman, pengalaman dan kesedaran.

Justeru, pelancongan adalah baja yang terbaik untuk menyuburkannya. Apabila rakyat Malaysia lebih kerap melancong di dalam negara, sambil sesekali melihat dunia luar, mereka akan lebih insaf dan akhirnya lebih cintakan tanah air.

Sebagai seorang penyelidik dalam bidang ekonomi pelancongan, saya ingin menegaskan bahawa pelancongan tidak wajar dilihat semata-mata sebagai “industri penjana duit.”

Ia jauh lebih besar daripada itu. Ia adalah wadah membina karakter bangsa, menanam rasa bangga, dan menyuburkan cinta kepada negara.

Inilah patriotisme yang sejati – lahir daripada mata yang melihat, hati yang merasa, dan akal yang menilai.

*Prof Dr Mohd Hafiz Hanafiah ialah Timbalan Rektor ICARE, Universiti Teknologi Mara Selangor

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!