Sabah perlukan peruntukan tambahan susulan bencana banjir - PM

KOTA KINABALU - Sabah memerlukan peruntukan tambahan bagi menangani masalah banjir yang berlarutan sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda, selain insiden tanah runtuh baru-baru ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, arahan telah diberikan supaya seluruh jentera kerajaan Persekutuan memberi kerjasama, termasuk menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta.
"Tapi sekarang kita lihat beberapa keperluan yang tentunya memerlukan peruntukan yang lebih (untuk) pasca penyelesaian awal banjir ini. Sekarang ini kita hanya bantu masalah keluarga, makan minum mereka, penempatan mereka.
"Lepas itu, soal prasarana, termasuk jalan dan macam Institut Pendidikan Guru (IPG) ini satu keutamaan. Jadi kita tunggu laporan daripada kejuruteraan sama ada boleh kekal bangunkan semula di sini, ataupun kita akan runding dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan satu kawasan baharu untuk dibangunan dalam tempoh segera," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan tanah runtuh di IPG Kampus Gaya, di sini, pada Jumaat.
Turut mengiringi beliau meninjau lokasi terjejas akibat banjir dan tanah runtuh ialah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif merangkap Exco Pendidikan dan Agama dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.
Anwar berkata, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek telahpun mengemukakan laporan awal mengenai kejadian tanah runtuh yang berlaku di IPG berkenaan kepada Jemaah Menteri pada Rabu lalu.
"Kita menunggu hanya laporan akhir. Yang saya minta, semuanya segera. Saya tak mahu ikut proses biasa kerana banjir ini dan kerosakan ini bukan proses biasa dan kalau kita buat proses biasa, nak siapkan jalan atau kemudahan (mengambil masa) terlalu lama, oleh itu kita sudah minta supaya proses itu dipercepatkan," katanya.
Mengenai anggaran kos baik pulih serta usaha menangani banjir, beliau memaklumkan ia masih belum dikemukakan.
"Kalau setakat sekarang ini selain daripada RM10 juta kita agihkan yang keperluan RM1.5 juta situ, RM300,000 sini, itu kita boleh serahkan sebahagian kepada kerajaan negeri ataupun Persekutuan, saya akan minta ia disegerakan," katanya.
Ditanya mengenai peruntukan tambahan untuk mangsa terjejas sama ada akibat banjir atau tanah runtuh, Anwar berkata mereka dilihat lega kerana dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat kerosakan yang dihadapi.
"Sekarang ini mangsa, saya tanya itu nampak mereka agak lega, ada yang (terima bantuan) RM20,000, ada yang RM2,000. Yang penting itu bukan makna cash (tunai) dia.
"Tetapi perumahan dia (mangsa), kemudahan-kemudahan asas dia, barang-barang persekolahan anak-anak dia. Itu yang penting kita selesaikan," katanya.
Ringkasan AI
- Sabah memerlukan peruntukan tambahan untuk menangani masalah banjir dan tanah runtuh yang menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan seluruh jentera kerajaan Persekutuan untuk menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta
- Kerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan kawasan baru bagi pembangunan prasarana termasuk jalan dan institusi pendidikan menjadi keutamaan
- Menteri Pendidikan telah mengemukakan laporan awal mengenai kejadian tanah runtuh dan kerosakan akibat banjir kepada Jemaah Menteri
- Mangsa banjir dan tanah runtuh menerima bantuan kewangan, dan usaha meningkatkan kemudahan asas serta pendidikan bagi anak-anak mereka sedang dilaksanakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
