Titah Adendum: UMNO Kedah kecewa keputusan mahkamah

Shaiful Hazizy
Shaiful Hazizy
A
A
A

ALOR SETAR – UMNO Kedah kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin yang membenarkan Peguam Negara merayu keputusan berhubung Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, keputusan tersebut menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat mengenai sejauh mana prinsip keadilan sebenar dapat ditegakkan tanpa pengaruh tekanan atau kepentingan tertentu.

“UMNO Kedah memandang serius perkara ini dan mengingatkan semua pihak agar tidak memperlekehkan semangat kedaulatan undang-undang serta prinsip keadilan yang menjadi teras negara kita,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, Najib telah menunjukkan rasa hormat yang tinggi terhadap institusi kehakiman negara dengan melalui semua proses perundangan secara sabar dan penuh penghormatan, termasuk terhadap sebarang titah dan keputusan Yang di-Pertuan Agong.

“UMNO Kedah menyatakan sokongan penuh kepada usaha Najib untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya dan yakin beliau bersama pasukan peguamnya akan terus memperjuangkan keadilan dengan penuh tekad dan professional,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Shaiful Hazizy turut menegaskan bahawa integriti institusi kehakiman perlu dipelihara supaya ia kekal bebas, telus dan adil, serta mampu meyakinkan rakyat bahawa setiap keputusan dibuat tanpa campur tangan politik atau tekanan luaran.

“Kami menyeru seluruh ahli UMNO, khususnya di Kedah, serta rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, untuk terus menyokong perjuangan ini.

“Ini bukan soal individu tetapi soal mempertahankan prinsip keadilan, kedaulatan undang-undang, dan menghormati institusi Raja Berperlembagaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, UMNO Kedah percaya bahawa kebenaran akhirnya akan terserlah dan Najib akan memperoleh keadilan yang sewajarnya kelak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!