Malaysia menuju Negara AI: Visi, cabaran dan harapan

Anuar Fariz (kiri) dan Fabian ketika sesi perbincangan santai bertajuk Yayasan Digital Negara Untuk Bandar Yang Lebih Pintar Inklusif dan Boleh Dilabur sempena Smart City Expo Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Anuar Fariz (kiri) dan Fabian ketika sesi perbincangan santai bertajuk Yayasan Digital Negara Untuk Bandar Yang Lebih Pintar Inklusif dan Boleh Dilabur sempena Smart City Expo Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelbagai agensi kerajaan berkaitan digital digabungkan di bawah satu bumbung bagi membina ekosistem digital kukuh serta hala tuju negara ke arah menjadi sebuah negara kecerdasan buatan (Negara AI) menjelang tahun 2030.

Wakil Kementerian Digital, Fabian Bigar berkata, antara agensi yang terlibat termasuklah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC Berhad (MYNIC), CyberSecurity Malaysia, Digital Nasional Bhd (DNB) dan lain-lain.

Menurutnya, penggabungan tersebut bertujuan menyelaras misi yang berbeza agar selari dengan visi Kerajaan Digital Nasional.

Beliau mengakui proses penyatuan agensi berbeza budaya dan mandat bukanlah mudah, namun inisiatif itu penting untuk mempercepat transformasi digital negara.

"Negara AI bermaksud Malaysia menggunakan teknologi untuk memperkasa ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta membina masyarakat yang lebih inklusif. Namun, intervensi manusia tetap penting agar teknologi tidak hanya canggih tetapi memberi nilai kemanusiaan.

"Bagi menyokong visi tersebut, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan termasuk AI for Citizens, CyberSafe for Citizens serta program Executive Digital Leadership untuk melatih pemimpin industri.

"Usaha ini bertujuan memastikan bukan sahaja rakyat biasa, malah golongan eksekutif dan pembuat dasar turut bersedia menghadapi era AI," katanya ketika sesi perbincangan santai bertajuk Yayasan Digital Negara untuk Bandar yang Lebih Pintar, Inklusif dan Boleh Dilabur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Jumaat.

Sesi berkenaan turut menampilkan moderator, wakil Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Anuar Fariz Fadzil, dan berlangsung sempena Smart City Expo Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Gobind bersama lebih 50 anak Pusat Jagaan Amal Asyura dan pasukan Digital Ninjas pada sesi Sophia the Robot, salah satu ciptaan AI yang paling diiktiraf di dunia. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Gobind bersama lebih 50 anak Pusat Jagaan Amal Asyura dan pasukan Digital Ninjas pada sesi Sophia the Robot, salah satu ciptaan AI yang paling diiktiraf di dunia. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

Fabian turut menekankan bagaimana teknologi kini mempengaruhi kehidupan rakyat secara langsung daripada penggunaan telefon pintar dan aplikasi pintar di rumah, perkhidmatan kesihatan digital sehinggalah pendidikan berasaskan AI generatif.

"Setiap kali kita bangun tidur, perkara pertama yang kita lihat adalah telefon pintar. Itu sendiri menunjukkan teknologi sudah sebati dengan kehidupan seharian," jelas beliau.

Dalam bidang kesihatan, beliau menjelaskan bahawa potensi teknologi AI dalam pemantauan pesakit, termasuk integrasi sensor pada peranti boleh pakai yang mampu memberi amaran awal.

Dalam pendidikan pula, beliau menyebut kemungkinan pembelajaran hibrid antara guru sebenar dan agen AI yang lebih interaktif.

Mengulas mengenai agenda Negara AI, Fabian berkata, konsep itu bukan sekadar retorik tetapi fokus menyeluruh negara bagi menyatukan semua usaha transformasi teknologi.

"Pembangunan digital Malaysia perlu bertumpu kepada tiga komponen utama iaitu infrastruktur, yang merangkumi capaian 5G, pusat data dan rangkaian aplikasi; kemahiran, di mana rakyat perlu dilengkapi literasi digital agar dapat memanfaatkan teknologi sepenuhnya; serta kepercayaan, iaitu membina keyakinan rakyat bahawa teknologi boleh dipercayai dan selamat digunakan.

"Keupayaan menguasai kemahiran baharu dan meningkatkan tahap literasi digital di semua peringkat adalah kunci kejayaan negara digital," tegasnya.

Fabian turut berkongsi tentang projek MyGov iaitu aplikasi super kerajaan yang kini mengintegrasikan lebih 30 perkhidmatan awam termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), kesihatan dan percukaian.

Melalui projek berkenaan, ujarnya, pelbagai jabatan dapat bekerjasama secara praktikal dalam satu platform, sekali gus mempercepat usaha penyelarasan digital kerajaan.

Fabian turut menekankan bahawa kejayaan Malaysia sebagai sebuah Negara AI bergantung kepada kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta dan rakyat.

"Kita tidak mahu hanya bercakap tentang teknologi, tetapi bagaimana teknologi boleh meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkukuh ekonomi dan menjadikan Malaysia tempat terbaik untuk tinggal, bekerja dan bermain," katanya.

Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo turut hadir bersama lebih 50 anak Pusat Jagaan Amal Asyura dan pasukan Digital Ninjas pada sesi Sophia the Robot, salah satu ciptaan AI yang paling diiktiraf di dunia.

Ringkasan AI

  • Pelbagai agensi kerajaan berkaitan digital digabungkan untuk membina ekosistem digital kukuh menjelang tahun 2030
  • Penggabungan bertujuan menyelaras misi agensi dengan visi Kerajaan Digital Nasional
  • Inisiatif ini mempercepat transformasi digital negara dan mempersiapkan rakyat menghadapi era kecerdasan buatan
  • Malaysia bertujuan menjadi Negara AI dengan fokus pada infrastruktur, kemahiran digital, dan kepercayaan terhadap teknologi
  • Keberhasilan Malaysia sebagai Negara AI memerlukan kerjasama kerajaan, sektor swasta, dan rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!