ASEAN garis hala tuju baharu perangi jenayah rentas sempadan

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

PUTRAJAYA – ASEAN mencapai persetujuan penting apabila sebulat suara menerima ASEAN Plan of Action 2026–2035 yang menetapkan hala tuju baharu rantau ini dalam menangani jenayah rentas sempadan bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dokumen strategik itu akan menjadi panduan utama pelaksanaan usaha bersepadu melibatkan semua negara anggota ASEAN dalam memerangi jenayah yang semakin kompleks.

“Ini menetapkan hala tuju ASEAN dalam menangani jenayah rentas sempadan untuk satu dekad seterusnya dan ia diterima sebulat suara oleh semua negara anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 di Melaka, baru-baru ini.

Menurut Saifuddin, pelan tersebut akan menjadi payung kepada tiga deklarasi penting yang turut dipersetujui sepanjang mesyuarat, iaitu Melaka Declaration on Combating Transnational Crime, ASEAN Declaration on Countering People Smuggling in Southeast Asia dan ASEAN Declaration on Combating Cybercrime and Online Scams.

“Deklarasi-deklarasi ini menjadi outcome utama ketika Malaysia mempengerusikan AMMTC dan menjadi dokumen teras bagi merealisasikan pelan tindakan ASEAN untuk dekad berikutnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju rantau apabila mengusulkan penubuhan SOMTC Working Group on Money Laundering yang diterima semua negara anggota.

“Malaysia adalah negara yang mengusulkan dan menerajui penubuhan kumpulan kerja ini dengan kerjasama Bank Negara Malaysia, PDRM dan input UNODC. Mesyuarat pertama kumpulan kerja ini akan diadakan pada tahun 2026,” katanya.

Mesyuarat turut membuat keputusan bersejarah menggugurkan isu perlanunan laut dan jenayah ekonomi antarabangsa daripada senarai bidang keutamaan AMMTC. Sebaliknya, fokus diperluaskan kepada jenayah siber termasuk penipuan dalam talian yang kini mencatatkan kerugian ekonomi amat besar.

Artikel Berkaitan:

“Ancaman itu masih wujud tetapi tidak separah penipuan atas talian. Maka kita memberikan penekanan lebih kepada jenayah siber,” katanya.

Saifuddin turut mendedahkan statistik mengejutkan yang dikongsi META dalam sesi terbuka AMMTC, iaitu kerugian global akibat penipuan dalam talian mencecah AS$1 trilion setahun.

“Di Asia Timur dan Asia Tenggara sahaja, UNODC melaporkan kerugian antara AS$18 bilion hingga AS$37 bilion pada 2023. Jika ditukar kepada ringgit, ia mencecah sekitar RM100 bilion. Ini cukup menggerunkan,” katanya.

Beliau menegaskan tanpa usaha pencegahan serius, gejala itu boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat serta mengganggu kestabilan ekonomi.

Mesyuarat turut mengangkat tiga deklarasi penting di peringkat pemimpin yang akan dibawa ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober ini, iaitu ASEAN Leaders Declaration on Combating Money Laundering (diterajui Malaysia), ASEAN Leaders Declaration on Enhanced Cooperation in Locating and Arresting Criminal Fugitives (usul Vietnam) dan ASEAN Leaders Declaration on the Use of Sports for Preventing Violent Extremism (usul Indonesia).

Selain sesi pleno, Saifuddin berkata, persidangan kali ini turut menampilkan sesi terbuka melibatkan UNODC, AIPA dan META bagi mendapatkan input bersama. UNODC mencadangkan penglibatan lebih luas dengan Lead Shepherd serta memperkukuh program pembangunan kapasiti dan sokongan rakan dialog seperti China, Korea dan Jepun.

“Kita juga menekankan bahawa badan legislatif mesti dilibatkan secara rapat dengan badan eksekutif bagi memperkukuh kerangka undang-undang rantau ini,” ujarnya.

Malaysia turut mempengerusikan mesyuarat peringkat ASEAN Plus 3 dengan China, yang bersetuju menerima SOMTC+China Work Plan 2024–2028 bagi memperkukuh perkongsian maklumat, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analisis data besar dan sistem pemantauan canggih.

Dalam hubungan dua hala, Malaysia dan Korea bersetuju meneroka kerangka kerjasama maritim yang lebih komprehensif melalui memorandum persefahaman baharu, selain bertukar pengalaman dalam menangani isu penyalahgunaan dadah.

Katanya, semua keputusan dan deklarasi yang dicapai adalah hasil konsensus, selaras dengan prinsip ASEAN yang menekankan perpaduan rantau.

“ASEAN adalah kawasan yang aman berbanding rantau lain di dunia. Kita bangga dengan situasi ini kerana ia menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi kukuh,” katanya.

Mesyuarat tiga hari itu diakhiri dengan penyerahan rasmi tanggungjawab Pengerusi AMMTC daripada Malaysia kepada Filipina yang bakal menjadi tuan rumah pada tahun depan.

Ringkasan AI

  • ASEAN menerima ASEAN Plan of Action 2026–2035 sebulat suara untuk menangani jenayah rentas sempadan
  • Dokumen strategik ini akan menjadi panduan utama pelaksanaan usaha memerangi jenayah kompleks di kalangan negara anggota
  • Pelan tindakan ini dijangka menjadi payung kepada tiga deklarasi penting termasuk Melaka Declaration on Combating Transnational Crime
  • Malaysia mengusulkan penubuhan SOMTC Working Group on Money Laundering yang diterima semua negara anggota
  • Mesyuarat telah menggugurkan perlanunan laut dan jenayah ekonomi antarabangsa daripada senarai bidang keutamaan AMMTC, fokus kepada jenayah siber

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!