53 institusi pendidikan KPM di Sabah, Sarawak terjejas akibat banjir

PUTRAJAYA – Sebanyak 53 institusi pendidikan di Sabah dan Sarawak dilaporkan terjejas akibat banjir setakat jam 8 pagi Rabu.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, jumlah itu melibatkan 24 sekolah rendah dan lima sekolah menengah di Sabah manakala di Sarawak membabitkan 22 sekolah rendah dan dua sekolah menengah.
Menurut KPM, enam pusat pemindahan sementara (PPS) turut beroperasi di premis institusi pendidikan di bawah seliaan kementerian, masing-masing lima di Sabah dan satu di Sarawak.
“KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Sarawak sedang menyalurkan bantuan kecemasan kepada semua institusi pendidikan yang terjejas.
“Pemantauan berterusan situasi bencana banjir dilaksanakan bagi memastikan kesiapsiagaan, keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu, KPM turut menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga empat murid yang terkorban akibat banjir dan tanah runtuh di Sabah.
"Semoga seluruh keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini," jelas kementerian itu.
Sejak minggu lalu, beberapa daerah di Sabah termasuk Penampang, Tuaran dan Kota Belud dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan ratusan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Kejadian tanah runtuh turut dilaporkan menjejaskan beberapa laluan utama, sekali gus menyukarkan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan.
Setakat ini, 13 kematian telah direkodkan di Sabah akibat kejadian tanah runtuh manakala hampir 700 anggota tindak balas dan 70 aset telah dikerahkan di kawasan-kawasan bencana di negeri itu.
Sabah dijangka terus mengalami hujan lebat berserta ribut petir secara berlanjutan dalam tempoh lebih panjang di beberapa kawasan di bahagian timur hingga Khamis susulan penumpuan tiupan angin baratan yang berterusan di rantau berkenaan.
Ringkasan AI
- Sebanyak 53 institusi pendidikan di Sabah dan Sarawak terjejas akibat banjir
- Sebanyak 24 sekolah rendah dan lima sekolah menengah di Sabah, 22 sekolah rendah dan dua sekolah menengah di Sarawak
- Enam pusat pemindahan sementara beroperasi di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan
- KPM menyampaikan bantuan kecemasan kepada institusi terjejas dan melakukan pemantauan situasi bencana
- KPM ucapkan takziah susulan kematian empat murid akibat banjir dan tanah runtuh di Sabah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

