Kajian risiko rasuah, syor penyelesaian bentuk ekosistem bebas rasuah - Azam Baki

SEPANG - Kajian risiko rasuah dalam pelbagai sektor serta pelaksanaan syor penyelesaian bagi mengatasi isu dan cabaran amat penting ke arah pembentukan ekosistem negara bebas rasuah.
Penyelidikan ini melibatkan 10 universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), ) kepada pelajar Universiti Multimedia (MMU), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM) selain Institut Integriti Malaysia (IIM).
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, dapatan yang dikongsikan bukan sahaja menambah khazanah ilmu pengetahuan, malah turut membuka ruang untuk penambahbaikan daripada sudut dasar, perundangan, garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP).
"Pertama, kajian oleh UIAM ialah risiko rasuah dalam menentukan penggunaan guna tanah dalam penyediaan rancangan tempatan. Kedua, kajian USM mengenai risiko rasuah dalam industri sisa di Malaysia dan ketiga oleh MMU berkaitan risiko rasuah dalam industri sukan elektronik negara (e-Sport).
"Selain itu, kajian UMT berkaitan risiko rasuah dalam sektor perikanan di Malaysia, UIAM pula membentangkan risiko rasuah dalam sektor alam bina dan peranan badan profesional membendung rasuah Di Malaysia, manakala UM berkenaan meneroka bidang berisiko rasuah dalam industri pelancongan di Malaysia daripada perspektif pemegang taruh.
"Kajian oleh UKM pula mengenai pengurusan perdagangan karbon biru, UPM mengenai mengenal pasti dan memperkukuh sikap antirasuah. UTeM mengenai risiko rasuah dalam industri pembuatan serta UPNM berkenaan kajian konteks risiko rasuah, governans dan integriti pendatang asing di sempadan darat Malaysia," katanya semasa berucap pada Majlis Penutupan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 di Movenpick Convention Centre di sini pada Jumaat.
Tambah Azam, UTM juga membentangkan kajian risiko rasuah dalam industri minyak dan gas di Malaysia.
Kata beliau, daripada keseluruhan pembentangan ini, dapat disimpulkan bahawa setiap sektor sama ada guna tanah, industri sisa, e-sukan, perikanan, alam bina, pelancongan, karbon biru, pembuatan, sempadan mahu pun minyak dan gas masing-masing mempunyai cabaran tersendiri berkaitan rasuah.
"Namun mesej utama yang dapat kita gariskan ialah usaha membanteras rasuah menuntut integriti, ketelusan, penguatkuasaan yang berkesan, penggunaan teknologi baharu serta kerjasama padu semua pihak dan kerajaan," ujarnya.
Jelasnya, persidangan ini bukan sahaja menjadi medan pertukaran ilmu, tetapi juga pencetus kepada reformasi dasar, pengukuhan tatakelola dan komitmen kolektif untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas rasuah, berintegriti dan mampan.
"Melalui hasil penyelidikan yang kita bentangkan, kita telah mengasah senjata paling ampuh dalam perjuangan ini iaitu ilmu yang berasaskan fakta.
"Ilmu inilah yang akan membimbing kita menggubal dasar yang adil, melaksanakan tindakan yang berkesan, dan mengekalkan integriti dalam setiap langkah," ujarnya.
Dalam majlis itu, 11 resolusi persidangan telah dibentangkan Profesor Madya Muhammad Faris Abdullah dari UIAM.
Antara yang dibentangkan Muhammad Faris ialah memperkenalkan modul latihan komprehensif untuk mengukuhkan ekosistem antirasuah khusus untuk sektor pembuatan dan pelaksanaan audit pematuhan kendiri.
Selain itu, memperkenalkan semula Task Force bagi membanteras kemasukan warga negara asing tanpa izin ke dalam negara serta meningkat kesiapsiagaan petugas di sempadan melalui peningkatan fasiliti berteknologi tinggi dan insentif yang bersesuaian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
