Cabaran era digital tuntut penyelidikan strategik perkukuh tatakelola - Azam Baki

Azam (dua dari kiri) semasa Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 di Movenpick Convention Centre pada Khamis.
Azam (dua dari kiri) semasa Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 di Movenpick Convention Centre pada Khamis.
A
A
A

SEPANG – Cabaran baharu era digital, keterbukaan maklumat dan ekonomi rentas sempadan menuntut penyelidikan yang lebih strategik dalam usaha membanteras rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, dalam dunia yang semakin kompleks dan saling bergantung, usaha mencegah rasuah dan meningkatkan ketelusan memerlukan pendekatan berasaskan fakta, bukti serta penyelidikan yang berimpak tinggi.

Menurutnya, kajian-kajian yang bersifat empirikal memberi sumbangan besar dalam mengenal pasti jurang dan kelemahan dalam dasar, pelaksanaan serta sistem sedia ada.

"Malah, ia menjadi asas penting dalam pembentukan polisi berasaskan data yang lebih mampan, berfokus dan efektif.

"Penyelidikan berbentuk empirikal memainkan peranan penting dalam pembangunan dasar negara yang bersifat lestari dan berasaskan bukti. Tanpa data dan analisis yang tepat, kita berisiko menggubal dasar-dasar yang tidak menepati keperluan sebenar rakyat dan negara," katanya semasa berucap di Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 di Movenpick Convention Centre di sini pada Khamis.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Penyelidikan ini melibatkan 10 universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), ) kepada pelajar Universiti Multimedia (MMU), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM) selain Institut Integriti Malaysia (IIM).

Tambah Azam, beliau percaya kesemua hasil penyelidikan yang akan dibentangkan sepanjang persidangan kebangsaan ini amat signifikan bagi penggubal dasar dan undang-undang untuk membangunkan dasar yang komprehensif dan berimpak tinggi.

"Bahkan data berhubung risiko dan analisis jurang berhubung kelemahan tatakelola, integriti dan rasuah dalam sektor-sektor yang dikenal pasti ini sudah pasti membantu para pemegang taruh dalam mengatur strategi yang lebih berkesan bagi menutup ruang dan peluang berlakunya ketirisan, manipulasi dan rasuah," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, negara-negara seperti Hong Kong, Austria dan Korea Selatan telah membuktikan bahawa dasar antirasuah yang berlandaskan data bukan sahaja membantu mengenal pasti kelemahan sistem, malah menjadi pemacu kepada reformasi pentadbiran dan peningkatan daya saing ekonomi.

"Beberapa negara yang berjaya melaksanakan dasar antirasuah dan reformasi tadbir urus sebenarnya memulakan usaha mereka melalui penyelidikan awal, kajian empirikal dan analisis risiko secara menyeluruh.

"Sebagai contoh, Estonia tidak terus membangunkan sistem digital secara besar-besaran, tetapi memulakan inisiatif X-Road melalui pelaksanaan berperingkat dan kajian kebolehlaksanaan yang mendalam, melibatkan sektor kerajaan dan swasta.

"Kajian ini mengenal pasti potensi integrasi data sebagai asas kepada perkhidmatan awam yang telus, seterusnya menjadi model pentadbiran digital paling maju di Eropah Timur," ujarnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Cabaran era digital memerlukan penyelidikan strategik untuk membanteras rasuah
  • Penyelidikan empirikal penting untuk mengenal pasti kelemahan dalam dasar dan pelaksanaan
  • Data akurat dan analisis diperlukan untuk menggubal dasar yang efektif
  • Penyelidikan melibatkan 10 universiti dan menyumbang kepada pembangunan dasar lestari
  • Negara seperti Hong Kong dan Estonia menunjukkan keberhasilan dasar antirasuah yang berasaskan data

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!