Ribuan rakyat Filipina sertai ‘Trillion People March’ lawan rasuah

Penunjuk perasaan menyertai perhimpunan membantah projek kawalan banjir palsu, salah satu skandal rasuah terbesar negara dalam beberapa dekad, pada 21 September 2025.-AFP
Penunjuk perasaan menyertai perhimpunan membantah projek kawalan banjir palsu, salah satu skandal rasuah terbesar negara dalam beberapa dekad, pada 21 September 2025.-AFP
A
A
A

MANILA – Ribuan rakyat Filipina membanjiri Manila dan Quezon City hari ini dalam satu perhimpunan aman menentang rasuah susulan pendedahan penyelewengan besar dalam bajet projek kawalan banjir bernilai 1.9 trilion peso (RM140 bilion).

Protes yang dikenali sebagai 'Trillion People March' itu menggamit semula semangat Revolusi Kuasa Rakyat 1986 yang menumbangkan diktator Ferdinand Marcos Sr, apabila peserta melaungkan slogan menuntut ketelusan, akauntabiliti dan pemulangan dana yang didakwa diseleweng melalui projek ‘hantu’ infrastruktur.

Antara pihak yang dibidas termasuk ahli Parlimen, kontraktor pembinaan dan pegawai Jabatan Kerja Raya yang kini disiasat kerana didakwa mengaut keuntungan besar daripada peruntukan melindungi komuniti daripada banjir, meskipun banyak projek tidak pernah siap atau langsung tidak bermula.

Menariknya, siasatan yang mencetuskan kemarahan rakyat itu sendiri diperintahkan oleh Presiden Ferdinand Marcos Jr anak kepada bekas diktator yang digulingkan 39 tahun lalu.

Penunjuk perasaan membawa plakad, termasuk bertulis “yang korup perlu dipertanggungjawabkan”, ketika himpunan membantah projek kawalan banjir palsu di Manila pada 21 September 2025. Ribuan rakyat Filipina berhimpun bagi menyuarakan kemarahan terhadap skandal bernilai berbilion dolar itu.
Penunjuk perasaan membawa plakad, termasuk bertulis “yang korup perlu dipertanggungjawabkan”, ketika himpunan membantah projek kawalan banjir palsu di Manila pada 21 September 2025. Ribuan rakyat Filipina berhimpun bagi menyuarakan kemarahan terhadap skandal bernilai berbilion dolar itu.

Beliau berjanji siasatan tersebut “tidak akan mengabaikan sesiapa” selepas laporan mendedahkan ketirisan besar dalam bajet kawalan banjir sejak 15 tahun lalu.

Perarakan bermula di Taman Luneta, Manila, sebelum peserta bergerak ke Monumen Kuasa Rakyat di Quezon City, laluan sama yang pernah menyaksikan jutaan rakyat bangkit menamatkan pemerintahan Marcos Sr.

Kiko Aquino Dee, jurucakap perhimpunan itu yang juga cucu kepada ikon demokrasi Benigno “Ninoy” Aquino Jr dan Corazon “Cory” Aquino, menegaskan protes kali ini membuktikan rakyat mampu menolak rasuah dengan cara aman.

Artikel Berkaitan:

“Kami telah menunjukkan kepada dunia bahawa protes aman pernah menumbangkan diktator. Kami boleh menunjukkan sekali lagi bahawa ia boleh menumbangkan rasuah,” katanya.

Penunjuk perasaan mengangkat kain rentang menyeru masyarakat bangkit menentang rasuah ketika perhimpunan membantah projek kawalan banjir palsu di Manila pada 21 September 2025.
Penunjuk perasaan mengangkat kain rentang menyeru masyarakat bangkit menentang rasuah ketika perhimpunan membantah projek kawalan banjir palsu di Manila pada 21 September 2025.

Protes bersejarah itu menghimpunkan aktivis, pemimpin agama, ahli akademik, artis, selebriti, pelajar serta rakyat biasa satu gabungan jarang berlaku dalam landskap politik Filipina.

Ramai peserta membawa sepanduk bertulis “Pulangkan wang kami yang dicuri!” dan “Semua yang terlibat mesti dipertanggungjawabkan!”.

Teddy Casiño, pengerusi kumpulan progresif Bayan, berkata skandal banjir menimbulkan kemarahan mendalam kerana rakyat sendiri menanggung derita akibat banjir besar, sementara dana awam lesap ke tangan kontraktor politik.

“Rakyat kini sedar hanya melalui tindakan kolektif mereka, kerajaan akan dipaksa bertindak menyelesaikan masalah ini,” tegasnya.

Kemarahan awam juga membawa perubahan politik apabila Presiden Senat, Francis Escudero, dan Speaker Dewan, Martin Romualdez, yang dikaitkan dengan kontraktor bermasalah, telah digugurkan daripada jawatan.

Penganjur protes turut menuntut supaya semua pegawai terbabit didakwa di mahkamah serta diarahkan mengisytiharkan harta dan menandatangani pelepasan bank sebagai bukti ketelusan.

Tarikh 21 September turut membawa makna simbolik kerana ia memperingati pengisytiharan undang-undang tentera oleh Marcos Sr pada 1972, yang mencetuskan sembilan tahun pemerintahan penuh penindasan, pembunuhan dan rasuah besar-besaran. - Agensi

Ringkasan AI

  • Ribuan rakyat Filipina berhimpun di Manila dan Quezon City menentang rasuah susulan pendedahan penyelewengan dalam projek kawalan banjir
  • Protes itu, dikenali sebagai Trillion People March, diilhamkan oleh semangat Revolusi Kuasa Rakyat 1986 yang menumbangkan Ferdinand Marcos Sr
  • Peserta protes menuntut ketelusan dan pemulangan dana projek hantu infrastruktur yang diseleweng
  • Siasatan penuh kemarahan rakyat ini diarahkan oleh Presiden Ferdinand Marcos Jr, anak kepada bekas diktator yang tumbang
  • Protes bersejarah itu menunjukkan kekuatan rakyat dalam menolak rasuah secara aman dan menuntut semua pihak terlibat bertanggungjawab

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!