Bandar pintar perlu integrasi negeri, pusat - Gobind

KUALA LUMPUR - Kebanyakan negeri di Malaysia sudah memulakan inisiatif bandar pintar menerusi pelaksanaan pusat kawalan yang memantau aspek trafik, keselamatan, kebersihan dan lain-lain.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, inisiatif tersebut masih beroperasi dalam keadaan silo dan bergerak sendiri tanpa integrasi dengan negeri lain atau peringkat pusat.
"Ia menjadi cabaran utama untuk mencapai visi negara pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI Nation).
"Kalau kita mahu jayakan visi AI Nation, kita perlu ada kerangka pusat dan data yang dikumpul setiap negeri mesti boleh dikongsi bersama kerana kekuatan sebenar adalah apabila maklumat itu dapat diintegrasikan," katanya ketika ditemui di Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Khamis.
Dalam pada itu Gobind menjelaskan, kerajaan sudah memberi jaminan untuk membina ekosistem data dan teknologi di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), termasuk penubuhan repositori data serta pengukuhan perkhidmatan digital kerajaan.

"Matlamat kita adalah menggabungkan penyelesaian negeri dan pusat untuk menjadi model yang boleh dikembangkan di seluruh negara dalam usaha melahirkan lebih banyak inovasi keselamatan pintar," ujarnya.
Mengenai aspek risiko yang bakal dihadapi menerusi perkembangan teknologi baharu seperti robotik dan agen digital, beliau menjelaskan, Kementerian Digital akan memastikan ekosistem teknologi berkembang dalam keadaan terkawal dan selamat.
"Kita mahu inovasi terus berkembang tetapi dalam masa sama risiko perlu ditangani dengan baik dan terkawal.
"Soal kepercayaan dan keselamatan digital juga amat penting untuk memastikan rakyat lebih yakin," ujarnya.
Terdahulu Gobind menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu surat kolaborsi melibatkan beberapa syarikat antaranya Malaysian Smart City Alliance Association (MSCAA), Digital Nasional Berhad (DBN), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Ericsson.
Kerjasama tersebut merangkumi peningkatan kemahiran penjawat awam, pembangunan platform bandar AI nasional, penetapan piawaian bandar pintar serta projek ramalan iklim menggunakan kecerdasan buatan di Pulau Pinang.
MoU antara DNB dan Ericsson adalah bagi melancarkan Program Pendidikan Teknologi Abad ke-21 untuk melatih penjawat awam dan pihak berkuasa tempatan dengan pengetahuan praktikal berkaitan AI, 5G serta Internet Benda (IoT).
Kolaborasi antara DNB dan Amazon Web Services (AWS) pula untuk membangunkan platform bandar AI nasional yang mengintegrasikan infrastruktur awan, pembelajaran mesin dan analitik data lanjutan bagi memperkukuh tadbir urus bandar secara masa nyata.
Kerjasama antara DNB, MDEC dan MSCAA pula untuk membangunkan rangka kerja serta piawaian bandar AI di Malaysia yang dijangka meningkatkan mobiliti, perkhidmatan digital rakyat serta penyelesaian bandar lestari.
MoU dimeterai antara MDEC dan Dell Technologies’ AI Innovation Hub untuk mewujudkan tapak ujian ramalan iklim menggunakan AI di Zon Warisan Dunia UNESCO yang bertujuan melindungi warisan budaya sambil meningkatkan daya tahan alam sekitar.
Ringkasan AI
- Kebanyakan negeri di Malaysia sudah memulakan inisiatif bandar pintar
- Inisiatif bandar pintar beroperasi tanpa integrasi antara negeri atau dengan peringkat pusat
- Gobind Singh Deo menekankan kepentingan integrasi data untuk mencapai visi negara pintar
- Kerajaan komited membina ekosistem data dan teknologi di bawah RMK-13
- Terdapat kerjasama antara syarikat-syarikat untuk meningkatkan aspek kemahiran, pembangunan platform AI, dan peningkatan tadbir urus bandar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

