Malaysia perkukuh agenda bandar pintar, AI teras pembangunan masa depan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur disaksikan bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis. FOTO: ROSLI TALIB

A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangunan bandar pintar menjadi tonggak utama transformasi digital negara, selaras hasrat membina masyarakat Madani yang inklusif, mampan dan berdaya saing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsep berkenaan dilihat mampu mengangkat taraf hidup rakyat, mengurangkan kos sara hidup serta menawarkan peluang ekonomi baharu menerusi penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

"Bandar pintar bukan sekadar mengenai teknologi atau AI yang canggih, tetapi ia berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat.

"Ia mesti menjawab kebimbangan rakyat (iaitu) isu kos sara hidup, kemudahan awam dan kualiti persekitaran hidup," katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.

Beliau menjelaskan, inisiatif bandar pintar merupakan kesinambungan visi Malaysia Digital dengan Putrajaya dijadikan projek perintis melalui pembangunan Kota Madani.

Di samping itu ujarnya, Kuala Lumpur bakal menjadi mercu tanda penting kepada pelaksanaan konsep tersebut di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa melawat tapak pameran Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis. FOTO: ROSLI TALIB

"Langkah itu seiring trend global apabila lebih separuh penduduk ASEAN dijangka tinggal di bandar menjelang tahun 2030, sekali gus menuntut pendekatan baharu dalam pengurusan bandar.

Artikel Berkaitan:

"Pembangunan bandar pintar mesti berpaksikan prinsip Madani (iaitu) belas kasihan dan memberi peluang yang adil kepada semua.

"Teknologi hanyalah alat, tujuan akhirnya adalah kesejahteraan rakyat," ujarnya.

Sementara itu Perdana Menteri turut menegaskan kepentingan etika, keselamatan siber dan privasi data dalam pelaksanaan teknologi AI di bandar pintar, selain menolak pembangunan yang hanya menghasilkan 'hutan konkrit' tanpa identiti budaya.

Justeru beliau berkata, kerajaan melalui Digital Nasional Berhad melancarkan program pendidikan teknologi yang menyasarkan latihan kepada lebih 40,000 penjawat awam dalam bidang AI, sains data dan tadbir urus digital.

"Malaysia kini memiliki asas kukuh dengan liputan rangkaian 5G melebihi 82 peratus kawasan dan dijangka mencapai 98 peratus menjelang Rancangan Malaysia ke-13 yang mampu memperkukuh agenda bandar pintar negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!