Telefon bimbit berisiko jadi alat mengintip

Keratan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Mohd Azlishah)
Keratan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Mohd Azlishah)
A
A
A

SHAH ALAM - Israel berada pada kedudukan barisan hadapan dalam bidang keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), aplikasi mudah alih dan perlindungan data, sekali gus mewujudkan kebimbangan bahawa telefon bimbit disalah guna sebagai alat pengintipan.

Pakar teknologi, Dr Mohd Azlishah Othman berkata, telefon pintar merupakan komputer mini yang sentiasa terhubung dengan internet dan berpotensi mengumpul data lokasi, tabiat pengguna dan komunikasi.

“Pengaruh syarikat teknologi Israel dalam pembangunan aplikasi atau sistem keselamatan telefon pintar global sangat besar. Israel digelar Startup Nation kerana melahirkan ribuan syarikat teknologi tinggi. Banyak startup ini akhirnya diambil alih syarikat multinasional.

“Tanpa disedari, hampir setiap telefon pintar moden mengandungi unsur teknologi yang berasal dari Israel,” kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu iaitu ‘sesiapa yang memiliki telefon bimbit pada dasarnya membawa Israel dalam genggaman tangan mereka’.

Ditanya mengenai maksud di sebalik kenyataan tersebut, Mohd Azlishah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik dan Komputer, Universiti Teknikal Malaysia Melaka menjelaskan, kenyataan tersebut bukan bermaksud pemilikan literal.

Sebaliknya, ia lebih kepada simbolik bahawa pelbagai inovasi dan ciptaan dari Israel sudah tertanam dalam teknologi yang digunakan setiap hari.

“Telefon pintar moden banyak bergantung kepada sumbangan penyelidikan dan pembangunan dari syarikat Israel, menjadikan pengaruh negara itu sebahagian ekosistem digital global.

“Israel terkenal sebagai hab inovasi teknologi, khususnya dalam bidang semikonduktor, sensor kamera dan algoritma kecerdasan buatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, beberapa syarikat gergasi dunia menggunakan hasil penyelidikan syarikat Israel dalam produk mereka seperti teknologi chipset komunikasi dan sistem keselamatan digital.

Jelas beliau, secara teorinya semua negara yang menghasilkan teknologi sama ada Amerika Syarikat (AS), China, Korea, Jepun atau Israel berpotensi mempunyai risiko keselamatan atau wujudnya pintu belakang (backdoor).

“Namun, syarikat Israel yang membekalkan teknologi kepada pasaran global perlu mematuhi standard ketat ditetapkan badan antarabangsa.

“Jadi, risikonya sama macam guna teknologi AS, China, Korea atau Jepun, bukan eksklusif kepada Israel,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna agar menjaga keselamatan siber seperti mengemas kini perisian, elakkan memasang aplikasi tidak rasmi dan memilih vendor yang jelas mematuhi piawaian keselamatan global.

Termasuk menggunakan antivirus atau aplikasi keselamatan yang sah dan tidak klik pautan yang meragukan atau memberi akses data sewenang-wenangnya.

Selain itu beliau turut mengulas tentang pelaksanaan dasar berkaitan sovereign cloud atau pengkomputeran awan berdaulat menjadi keperluan mendesak bagi Malaysia demi memastikan keselamatan serta kedaulatan data negara terjamin.

“Sovereign cloud memastikan data rakyat Malaysia tidak tersimpan di pelayan luar negara yang mungkin dikawal syarikat asing. Ia membolehkan data negara diurus dalam sempadan Malaysia sendiri, sekali gus mengurangkan risiko pengintipan,” katanya

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, kerajaan sedang meneliti keperluan melaksanakan dasar itu berikutan AS sedang mengubal satu akta yang membolehkan mereka mengakses data daripada syarikat yang menyediakan perkhidmatan itu walaupun kemudahan itu terdapat di negara asing.

Ringkasan AI

  • Israel merupakan pemain utama dalam keselamatan siber, AI, aplikasi mudah alih dan perlindungan data
  • Telefon pintar mengandungi teknologi yang berasal dari Israel
  • Israel digelar Startup Nation kerana melahirkan ribuan syarikat teknologi tinggi
  • Inovasi dari Israel merupakan sebahagian daripada ekosistem digital global
  • Pentingnya sovereign cloud untuk keselamatan dan kedaulatan data Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!