'Simbol Israel di tangan anda'

TEL AVIV - “Sesiapa yang memiliki telefon bimbit pada dasarnya membawa Israel dalam genggaman tangan mereka.”
Kenyataan angkuh itu dibuat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ketika pemimpin ‘ekstremis’ berkenaan memuji keupayaan Tel Aviv untuk menghasilkan peranti berkenaan, ubat-ubatan, senjata dan makanan hingga mengundang pelbagai reaksi kurang senang banyak pihak.
Ia juga mencetuskan kebimbangan jika telefon bimbit dijadikan sebagai alat untuk mengintip pengguna di seluruh dunia.
Netanyahu yang tidak peduli kecaman ramai cuba menunjukkan kehebatan mereka yang kini semakin terasing daripada komuniti antarabangsa menerusi ucapan kepada delegasi Kongres Amerika Syarikat (AS) yang berkunjung ke Baitulmaqdis Barat.
“Washington wajar mengiktiraf segala manfaat yang diterima dari Tel Aviv. Kami juga berkongsi maklumat risikan dan sistem senjata bersama AS.
“Segelintir pihak sudah hentikan penghantaran komponen senjata kepada kami tetapi hal itu tidak menjadi masalah kerana kami cukup mahir dalam menghasilkan senjata,” katanya dalam nada bongkak.
Hakikatnya, Netanyahu mula berasa tergugat setelah Israel kini mula hilang sokongan dalam hal ketenteraan dan terpaksa bergantung penuh kepada Washington selaku sekutu kuatnya yang mungkin juga berubah pendirian akibat desakan banyak pihak.
Oleh itu, pemimpin terpalit skandal rasuah itu cuba menjadikan hasil eksport untuk menunjukkan kononnya Israel ‘sangat gah’ di mata dunia.
“Tomato ceri yang anda makan. Tahukah ia dihasilkan di mana? Ia merupakan produk Israel begitu juga dengan produk lain,” ujarnya.
Netanyahu menggelar sumbangan Tel Aviv kononnya untuk kebaikan seluruh umat manusia setelah ia kini kehilangan sumber utama daripada pembekal asing dan tidak lagi mendapat sokongan daripada beberapa negara Eropah Barat.
Pemimpin veteran sayap kanan itu dengan megah diri menyatakan Israel mampu menghadapi tindakan pengasingan yang mungkin berlarutan selama beberapa tahun dan bakal memberi impak besar kepada import senjata.
Namun dalam masa yang sama Netanyahu sebenarnya sudah berasa tertekan ‘dipulaukan’ banyak pihak kerana perang genosid yang dilancarkan selama dua tahun ke atas Genting Gaza.
Israel kini berdepan embargo senjata separa atau lengkap dari sejumlah negara Eropah termasuk Perancis, Belanda, Britain, Sepanyol dan Itali.
Netanyahu secara melulu menuduh pengasingan tersebut sebagai agenda ekstremis yang cuba mempengaruhi dasar luar Eropah.
“Situasi ini mengancam kita dengan permulaan sekatan ekonomi dan masalah mengimport senjata serta komponennya,” ujarnya yang cuba mahu meraih simpati sekutu Barat.
Sementara itu, pemimpin pembangkang, Yair Lapid menggelar kenyataan Netanyahu sebagai ‘tidak masuk akal’.
“Ia berpunca daripada dasar kerajaannya yang lemah dan gagal,” tegasnya.
Bekas Ketua Tentera, Gadi Eisenkot juga senada dengan Lapid apabila menyatakan tidak akan ada peluang kedua untuk memulihkan ‘segala kerosakan’ dilakukan Netanyahu dan sekutunya.
Ringkasan AI
- Benjamin Netanyahu mengatakan memiliki telefon bimbit bererti membawa Israel dalam genggaman tangan
- Netanyahu menyatakan keupayaan Israel dalam menghasilkan peranti, ubat-ubatan, senjata dan makanan
- Wujud kebimbangan telefon bimbit boleh digunakan untuk mengintip pengguna global
- Israel menghadapi embargo senjata dari beberapa negara Eropah akibat perang genosid di Genting Gaza
- Netanyahu berusaha meraih simpati sekutu Barat di tengah tekanan embargo dan pengasingan antarabangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

