KPT bidas dakwaan ADUN Jitra, nafi abai pelajar tempatan

Dr Azlinda (tengah) ketika sesi sidang akhbar khas di Kementerian Pendidikan Tinggi pada Rabu.
Dr Azlinda (tengah) ketika sesi sidang akhbar khas di Kementerian Pendidikan Tinggi pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Azlinda Azman membidas dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah kononnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengabaikan kepentingan pelajar tempatan susulan peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa di universiti awam.

Menurut beliau, tuduhan tersebut tidak wajar memandangkan ADUN berkenaan pernah memegang jawatan Naib Canselor sebuah universiti awam dan ketika itu turut menggalakkan pengambilan pelajar antarabangsa selaras dengan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

“Beliau sendiri ketika menjadi naib canselor bersetuju dan mengaplikasikan dasar pengambilan pelajar antarabangsa seperti termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025.

"Maka, tidak wajar menimbulkan persepsi seolah-olah pelajar tempatan dianaktirikan,” katanya ketika sidang akhbar di sini pada Rabu.

Azlinda berkata, Exco Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi Kedah itu sebelum ini didakwa beberapa kali memberi maklumat yang salah ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga mengelirukan masyarakat, lebih-lebih lagi selepas kenyataan tersebut tular di media sosial.

“Kami di KPT perlu tampil memberikan penjelasan kerana kenyataan-kenyataan seperti itu boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat mengenai dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi,” katanya.

Beliau menegaskan dasar berkenaan bertujuan memperkukuh universiti tempatan di peringkat global melalui kerjasama penyelidikan antarabangsa, penarafan universiti yang lebih baik dan meningkatkan daya saing graduan Malaysia.

Katanya, subsidi kerajaan hanya dinikmati pelajar warganegara manakala yuran pelajar antarabangsa dibayar sepenuhnya tanpa sebarang bantuan.

“Keutamaan tetap diberikan kepada pelajar tempatan, terutama di peringkat prasiswazah dengan komposisi 91.6 peratus pelajar tempatan dan hanya 8.4 peratus pelajar antarabangsa di lima universiti penyelidikan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Bagi pengajian pascasiswazah pula, Azlinda menjelaskan pengambilan adalah terbuka tanpa had kerana ia memberi impak positif terhadap penarafan universiti.

“Universiti Malaya (UM) kini berada di kedudukan ke-58 terbaik dunia, manakala empat universiti penyelidikan iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berada di tangga 126 hingga 153 QS World Ranking.

“Ini hasil usaha menarik pelajar pascasiswazah antarabangsa yang meningkatkan penerbitan penyelidikan dan reputasi akademik,” katanya.

Haim Hilman, sebagai pembahas Kedah dalam Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Kompleks Pas Kedah pada Isnin lalu mendakwa KPT gagal mendahulukan kepentingan rakyat tempatan, khususnya dalam isu peluang pendidikan tinggi dan pekerjaan graduan muda, sehingga menyebabkan satu “tragedi bangsa” selain menyifatkan pentadbiran kerajaan sedia ada sebagai satu “kepincangan”.

Mengulas lanjut, Azlinda menolak persepsi bahawa kemasukan pelajar antarabangsa menjejaskan peluang anak tempatan.

“Tuduhan kononnya kita mengabaikan pelajar tempatan adalah tidak benar,” tegasnya.

Beliau turut menggesa semua pihak mendapatkan fakta tepat sebelum membuat kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.

“Kita mahu masyarakat memahami data sebenar supaya tidak timbul salah faham.

“Tanggungjawab kami di KPT ialah memberi pencerahan dan memastikan dasar dilaksanakan dengan adil,” katanya.

Ringkasan AI

  • Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi membidas dakwaan ADUN Jitra mengenai pengabaian pelajar tempatan
  • ADUN tersebut pernah menjadi Naib Canselor dan menggalakkan pengambilan pelajar antarabangsa
  • Tuduhan ADUN tidak wajar memandangkan beliau terlibat dalam dasar pengambilan pelajar antarabangsa
  • Dasar pengambilan pelajar antarabangsa selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025
  • Dakwaan mengenai pelajar tempatan dianaktirikan dianggap tidak berasas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!