PTPK nafi dakwaan pembiayaan, elaun sara hidup pelajar dihentikan

SHAH ALAM – Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menafikan dakwaan bahawa pembiayaan pinjaman pelajaran dan elaun sara hidup bulanan kepada pelajar telah dihentikan.
PTPK dalam kenyataan memaklumkan, tuduhan dibuat sebuah gabungan pusat latihan swasta itu tidak berasas kerana semua pelajar diluluskan pinjaman masih menerima pembiayaan dan elaun seperti biasa.
“Sehingga Ogos 2025, PTPK telah meluluskan pinjaman berjumlah RM524 juta membabitkan 52,098 pelajar dan 306 pusat latihan. Bagi 2025, seramai 21,947 pelajar diluluskan pinjaman mereka.
"Semua pelajar diluluskan pinjaman masih terus menerima pembiayaan dan elaun sara hidup seperti biasa, malah elaun sara hidup juga telah dinaikkan daripada RM400 kepada RM800 bagi setiap pelajar," katanya pada Jumaat.
Pada Selasa, media melaporkan Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC) yang mewakili lebih 350 pusat latihan kemahiran swasta di seluruh negara melahirkan kebimbangan serius berhubung isu kekangan dana pinjaman PTPK semakin meruncing serta memberi kesan besar kepada pelajar khususnya daripada keluarga B40.
Menurut Exco FeMAC, Tengku Ahmad Mujahid Tengku Mahmud, sejak dua tahun kebelakangan ini, PTPK telah beberapa kali menghentikan pembiayaan pinjaman pelajaran serta elaun sara hidup bulanan, menyebabkan ribuan pelajar di seluruh negara terjejas.
PTPK menjelaskan, pihak mereka sentiasa beriltizam untuk memastikan anak muda Malaysia mendapat akses kepada latihan kemahiran relevan, inklusif dan selari dengan keperluan pasaran kerja semasa.
Justeru, kongsinya, PTPK telah meluluskan pinjaman keseluruhan berjumlah RM4.76 bilion yang memberi manfaat kepada 306,600 peminjam di seluruh negara sejak penubuhannya pada 2001.
Menurut kenyataan itu lagi, pengagihan dana pada masa depan akan memberi keutamaan kepada program berimpak tinggi, rekod bayaran balik pinjaman, pematuhan syarat permohonan termasuk rayuan serta penempatan pekerjaan selepas tamat latihan.
“Dengan pendekatan baharu berasaskan Performance-Based Budgeting dan prinsip Value for Money, PTPK yakin bahawa keberkesanan dan kelangsungan dana akan terus terjamin.
"Ia sekali gus memastikan para pelajar mengikuti kursus lebih berkualiti, memperoleh kelayakan lebih baik dan mempunyai masa depan lebih terjamin," ujarnya.
Dalam pada itu, PTPK turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong atas sokongan berterusan terhadap usaha PTPK dalam memastikan setiap program dilaksanakan benar-benar berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

