Penantian 31 tahun peneroka Felda Sungai Buaya berakhir

Menteri Besar (tengah) memaklumkan syarikat pengurusan tadbir tanah Murna Jaya Development (MJD) Berhad melangsaikan keseluruhan baki bayaran tertunggak bernilai RM74.2 juta.
Menteri Besar (tengah) memaklumkan syarikat pengurusan tadbir tanah Murna Jaya Development (MJD) Berhad melangsaikan keseluruhan baki bayaran tertunggak bernilai RM74.2 juta.
A
A
A

HULU SELANGOR - Penantian hampir 31 tahun 363 bekas peneroka Felda Sungai Buaya berakhir apabila bayaran peringkat akhir pampasan tanah diserahkan, sekali gus menamatkan kemelut yang berlarutan sejak 1994.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, syarikat pengurusan tadbir tanah Murna Jaya Development (MJD) Berhad melangsaikan keseluruhan baki bayaran tertunggak bernilai RM74.2 juta.

Beliau berkata, penyelesaian itu hasil kerjasama semua pihak sejak 2018 dengan MJD tampil sebagai ‘white knight’ menyerap kos besar dan menyalurkan pembayaran terakhir kepada peneroka.

“Alhamdulillah, saya ucapkan penghargaan kepada semua yang merealisasikan harapan peneroka dengan sebahagiannya berusia lebih 80 tahun, malah ada yang sudah meninggal dunia. Paling tidak, Kerajaan Selangor berjaya menyelesaikan hal ini," ujarnya pada sidang media di pekarangan pejabat MJD Berhad di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MJD Berhad, Amirul Fahmi Ahmad.

Dalam hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat, Amirudin turut menegaskan bahawa dengan komitmen berterusan kerajaan negeri, penyelesaian isu Bandar Sungai Buaya dan bayaran baki tertunggak kepada bekas peneroka Felda menjadi satu kejayaan selepas penantian panjang.

Jelasnya, kerajaan negeri juga mahu melihat Bandar Sungai Buaya dibangunkan dengan lebih baik memandangkan MJD kini sedang membuat ukuran pengezonan.

“Jika ada keperluan, kerajaan negeri akan memberi sokongan. Mereka habis beratus juta ringgit untuk selesaikan hal ini. Jadi, saya percaya perlu ada kerjasama dari semua pihak.

"Saya percaya selepas ini Bandar Sungai Buaya dengan ‘interchange’ dan industri sedia ada, sudah bersedia untuk bergerak maju menyambut pembangunan yang agak rancak di Hulu Selangor,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada kawasan lain di Selangor berdepan isu sama, Amirudin menjelaskan setiap kawasan mempunyai masalah tersendiri dan kaedah penyelesaian tidak sama serta bersifat spesifik.

Sementara itu, seorang peneroka, Mustaf Talib, 75, berkata, beliau bersyukur penantian selama tiga dekad akhirnya berakhir walaupun hanya segelintir peneroka yang masih hidup untuk menikmati hasil perjuangan itu.

“Ada juga anak-anak sudah berumur, ada yang telah meninggal dunia, tetapi generasi selepas ini, iaitu cucu mendapat faedah daripada pembayaran ini. Jadi, tahniah dan syabas kepada Ahli Lembaga Pengarah MJD Berhad yang baharu kerana dapat menyelesaikan isu ini,” tambahnya.

Seorang lagi penerima, K Balakrishnan, 84, pula memaklumkan bayaran itu akan dimanfaatkan untuk ahli keluarganya, manakala Jamadi Mohamad, 80, menganggap seperti bermimpi apabila menerima wang berkenaan dan tidak berhenti mengucapkan syukur.

“Sebelum ini, saya bertungkus lumus mencari rezeki demi membesarkan 14 anak dengan menjual dan menternak ikan. Dengan izin ALLAH SWT, dugaan itu berakhir apabila bayaran sampai dan saya bercadang membina rumah untuk tinggal bersama keluarga,” ujarnya.

Sementara itu, Amirul Fahmi pula berkata, pihaknya berusaha sebaik mungkin untuk melunaskan baki bayaran tertunggak itu dan tetap fokus memperjuangkan hak bekas peneroka walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk fitnah dan tohmahan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!