Malaysia bakal jadi hab pendaratan ikan tuna terbesar ASEAN

BUTTERWORTH - Malaysia khususnya Pulau Pinang diyakini bakal muncul sebagai hab pendaratan ikan tuna terbesar di rantau ASEAN dengan pembangunan pusat pendaratan dan aktiviti hiliran industri itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, potensi industri tuna amat besar memandangkan pasaran global kini dianggarkan mencecah AS$42 bilion dan dijangka meningkat kepada AS$54 bilion.
“Pulau Pinang akan menjadi hab yang besar untuk pendaratan ikan tuna di negara ini dan rantau ini. Dengan kerjasama kerajaan negeri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta pihak berkepentingan, saya yakin usaha ini akan direalisasikan.
“Selain pendaratan ikan, kita juga mahu mewujudkan aktiviti hiliran yang mampu melatih sehingga 4,000 tenaga kerja mahir khususnya dalam sektor maritim dan industri perikanan,” katanya pada sidang media, Selasa.
Sebelum itu, Ahmad Zahid menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Memorandum Perjanjian (MOA) Antara Asia Ocean Resources Sdn Bhd dengan Penang Port Sdn Bhd di Dermaga Dalam, Pelabuhan Pulau Pinang di sini.
Tambah beliau, Malaysia dengan kedudukan strategik di persimpangan maritim dunia tidak boleh hanya menjadi penonton sebaliknya perlu merebut peluang itu agar perairan, pelabuhan dan tenaga kerja negara menjadi sebahagian penting dalam rantaian bekalan antarabangsa.
"Kita tidak mahu lagi hasil tangkapan bernilai tinggi didaratkan di negara jiran. Setiap kali sebuah vesel berlabuh di luar negara, kita kehilangan pekerjaan, cukai, nilai tambah, dan peluang melatih anak muda tempatan.
"Dengan infrastruktur moden di Pulau Pinang, termasuk fasiliti pendaratan eksklusif - 60°C dan North Butterworth Container Terminal (NBCT) yang mampu mengendalikan 2.3 juta TEU setahun, ini lah bukti bahawa Malaysia kini mampu bersaing dengan Singapura, Thailand dan lain-lain," katanya.
Ahmad Zahid menambah, inisiatif itu juga seiring dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan fokus ke arah industri bernilai tinggi dan berteknologi maju dengan penekanan khusus terhadap sektor Ekonomi Biru, Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), inovasi dan sekuriti makanan.
"Dalam kerangka RMK13, tumpuan diberikan dalam memperluas akses latihan kemahiran, meningkatkan kadar gaji graduan TVET dan melaksanakan strategi berfokus yang menyelaras kehendak industri dengan pembangunan ekonomi negara.
"Projek tuna premium ini menjadi contoh bagaimana pelabuhan strategik dalam industri maritim bukan sahaja menyumbang kepada nilai eksport berbilion ringgit malah memperkukuh sekuriti makanan negara, memacu pembangunan kluster ekonomi baharu serta menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab ekonomi biru serantau," ujarnya.
Menurut beliau, ekosistem TVET juga akan dimanfaatkan bagi melahirkan tenaga mahir dalam industri berasaskan maritim, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai anak muda menyertai bidang penangkapan laut dalam.
"Kejayaan industri bukan sekadar pada angka eksport, tetapi sejauh mana ia membuka peluang kepada rakyat. Ketika sesi libat urus Belanjawan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) baru-baru ini, saya telah mencadangkan agar diwujudkan TVET Maritim yang bersesuaian dengan ekosistem setempat, khususnya bagi meningkatkan penglibatan anak-anak muda dalam bidang ini.
"Kini terdapat lebih 436,000 pelajar TVET berdaftar di seluruh negara, membuktikan sambutan yang cukup tinggi oleh belia tempatan terhadap TVET. Susulan itu, saya mahu projek tuna premium ini bakal membuka satu lagi kluster baharu dalam ekosistem TVET Malaysia, iaitu kluster maritim dan perikanan laut dalam," ujarnya.
Jelas beliau lagi, melalui inisiatif TVET Maritim itu, belia bukan sekadar dilatih untuk menjadi nelayan kecil, tetapi meningkatkan potensi mereka sebagai nelayan laut dalam dan usahawan.
"Terima kasih kepada Far Ocean dan Bumi Ocean yang berhasrat untuk menghantar vesel mereka ke limbungan UniKL MIMET utk tujuan penyelenggaraan, pembaikan serta menaik taraf sistem sokongan dan memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk menjalani latihan praktikal.
"Apabila pelajar dapat belajar secara praktikal di atas vesel sebenar, mereka bukan sahaja mendapat ilmu, tetapi juga pengalaman langsung yang menepati piawaian antarabangsa," katanya.
Katanya lagi, Pulau Pinang mempunyai kelebihan daripada segi infrastruktur termasuk fasiliti penyimpanan sejuk beku.
“Kerajaan menyokong penuh usaha pemindahan teknologi dari Jepun, Korea dan Taiwan yang kini sedang dijalankan.
"Ia adalah sebahagian daripada agenda ekonomi biru Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Malaysia, khusus Pulau Pinang, bakal menjadi hab pendaratan ikan tuna terbesar di ASEAN
- Pasaran global tuna dianggarkan meningkat dari AS$42 bilion kepada AS$54 bilion
- Projek ini menjanjikan peluang pekerjaan kepada 4,000 tenaga kerja mahir, terutamanya dalam sektor maritim dan perikanan
- Malaysia mahu meningkatkan kapasiti pesaing dengan infrastruktur modern untuk mengendalikan tangkapan berharga tinggi
- Inisiatif ini sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13, meningkatkan ekonomi biru dan memperluas peluang dalam TVET
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

