GCC aktif mekanisme pertahanan, kecam serangan Israel di Qatar

DOHA - Sidang kemuncak tergempar pemimpin negara Arab dan Islam yang berlangsung di sini mengecam serangan Israel terhadap pemimpin Hamas di ibu negara Qatar.
Janji Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk mengaktifkan mekanisme pertahanan bersama dilihat sebagai hasil paling nyata menerusi sidang tersebut yang dibuka oleh Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani.
Baginda menyifatkan pengeboman Israel itu sebagai tindakan terang-terangan, khianat dan pengecut.
Negara anggota GCC seperti Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah membentuk pakatan pertahanan bagi menangani isu keselamatan serantau.
“Ibu kota negara saya menjadi serangan khianat dengan menyasarkan kediaman keluarga pemimpin Hamas dan delegasi rundingan mereka,” kata Sheikh Tamim dalam ucapan pembukaan.
Pemimpin Hamas itu sedang bermesyuarat bagi membincangkan cadangan terbaharu gencatan senjata Amerika Syarikat (AS) di Gaza.
Sheikh Tamim menyeru agar langkah konkrit diambil bagi menangani kegilaan kuasa, keangkuhan dan kerakusan darah yang menguasai Israel serta akibat berterusan tercetus daripadanya.
Menurutnya, serangan terhadap perantara membuktikan Israel tidak berminat dengan keamanan dan hanya mahu menggagalkan rundingan menamatkan perang di Gaza yang telah meragut lebih 64,800 nyawa rakyat Palestin.
Sidang tergempar itu dianjurkan selepas kemarahan tercetus di rantau ini berikutan serangan Israel pada 9 September lalu yang mengorbankan enam orang.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Mohammed Al-Ansari berkata rundingan sudah bermula dalam kalangan badan anggota GCC untuk memperkukuh ‘keupayaan pencegahan Teluk’ melalui mesyuarat Komando Ketenteraan Bersatu yang dijadual berlangsung tidak lama lagi di Doha.
“Kenyataan bersama jelas menyeru mesyuarat peringkat tertinggi diadakan di Doha bagi membincangkan langkah memastikan keselamatan dan jaminan keselamatan bersama negara GCC.
“GCC berdiri sebaris memperjuangkan perkara ini,” ujarnya.
Sheikh Tamim turut memberi amaran tentang visi peluasan Israel di rantau ini dengan serangan berulang ke atas Lubnan, Syria dan Yaman.
Israel juga dilaporkan merampas tanah Syria dan enggan berundur dari selatan Lubnan.
“Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pernah berkata bahawa dia bermimpi menjadikan rantau Arab sebagai lingkungan pengaruh Israel. Ini satu gambaran berbahaya,” jelas baginda.
Bagaimanapun, tiada langkah politik atau ekonomi segera diumumkan terhadap pencerobohan Israel.
Setiausaha Agung GCC, Jasem Mohamed Albudaiwi turut menyeru Presiden AS, Donald Trump agar mengekang sekutu rapatnya, Israel.
“Kami menjangkakan rakan strategik kami di AS menggunakan pengaruh mereka terhadap Israel untuk menghentikan kelakuan ini,” katanya.
Meskipun ramai mengharapkan tindakan lebih tegas, dapatan akhir sidang itu hanya mengandungi kecaman dan janji solidariti.
Negara anggota turut menolak ancaman berulang Israel yang mungkin menyasarkan Qatar sekali lagi dan memuji peranan Doha dalam usaha menjadi perantara bersama Mesir serta AS.
Beberapa pemimpin Arab dan Islam juga mengemukakan gesaan lebih tegas.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menggesa supaya tekanan ekonomi dikenakan ke atas Israel sambil menekankan kejayaan langkah itu sebelum ini.
Beliau juga mahu pegawai Israel dibawa ke muka pengadilan melalui mekanisme undang-undang antarabangsa.
Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi menyifatkan serangan di wilayah Qatar sebagai pelanggaran serius undang-undang antarabangsa yang mencetuskan contoh berbahaya.
Pakistan pula mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggantung keanggotaan Israel dan mencadangkan pasukan tugas Arab-Islamik.
Perdana Menterinya, Shehbaz Sharif menegaskan pasukan tersebut mesti mengambil langkah efektif menghalang cita-cita peluasan Israel.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menegaskan bahawa kecaman tidak akan menghentikan peluru berpandu dan deklarasi tidak mampu membebaskan Palestin.
Justeru, beliau menggesa sekatan tegas serta penggantungan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian turut menyeru supaya negara Islam memutuskan hubungan dengan Israel. - AGENSI
Ringkasan AI
- Sidang kemuncak tergempar pemimpin negara Arab dan Islam mengecam serangan Israel terhadap pemimpin Hamas di Qatar
- Majlis Kerjasama Teluk (GCC) berjanji mengaktifkan mekanisme pertahanan bersama
- Negara anggota GCC membentuk pakatan pertahanan untuk isu keselamatan serantau
- Serangan tersebut mengganggu perbincangan gencatan senjata Amerika Syarikat di Gaza
- Sidang itu tidak mengumumkan langkah politik atau ekonomi segera terhadap pencerobohan Israel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

