Cadangan bahasa Cina, Tamil diajar di SK realistik

Anuar (kiri), Hasnah
Anuar (kiri), Hasnah
A
A
A

SHAH ALAM – Cadangan menjadikan sekolah kebangsaan (SK) sebagai pusat pembelajaran pelbagai bahasa disifatkan realistik kerana subjek bahasa Cina dan Tamil sebenarnya sudah pun ditawarkan di sekolah tertentu.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, tawaran itu dilaksanakan atas permintaan ibu bapa dengan syarat minimum 15 murid.

Beliau berkata, sekolah terbabit menawarkan subjek itu selepas permohonan dibuat melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) termasuk oleh ibu bapa Melayu yang mahu anak mereka mempelajari bahasa tambahan seperti Mandarin, Tamil atau Arab.

“Kita memang mencadangkan malah sebenarnya telah pun dilaksanakan sesetengah SK dengan menawarkan mata pelajaran bahasa Cina dan Tamil selepas mendapat permintaan ibu bapa.

“Jika cukup 15 orang murid, maka akan dibuka kelas bahasa Cina dan Tamil. Jadi, memang sistem pendidikan kita meraikan kewujudan bahasa-bahasa selain daripada bahasa Melayu, Inggeris serta Arab,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, Pas dilaporkan mencadangkan mata pelajaran bahasa Cina dan Tamil diperkenalkan di SK sebagai langkah untuk memupuk perpaduan nasional dan menghapuskan rasa curiga antara kaum.

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man menekankan bahawa langkah terbabit akan membolehkan rakyat Malaysia memahami bahasa dan budaya antara satu sama lain seterusnya mengukuhkan hubungan kaum.

Anuar memberitahu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menyediakan guru terlatih bagi mengajar bahasa Cina dan Tamil apabila ada permintaan mencukupi.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, saya memang menyokong penuh dan mengharapkan supaya SK menjadi sekolah yang menawarkan kepelbagaian bahasa kepada anak-anak murid,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, langkah itu sekali gus menjadikan SK sebagai sekolah yang meraikan kepelbagaian bahasa selain mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama manakala Inggeris, Arab, Cina dan Tamil digalakkan.

Sementara itu Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan UKM, Profesor Madya Dr Hasnah Toran turut senada dengan cadangan terbabit dan menyifatkannya praktikal dan boleh dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara.

Beliau menjelaskan, ia memandangkan minda anak-anak adalah anjal dan mampu menyerap ilmu jika diajar secara betul, maka kanak-kanak juga perlu diajar dalam suasana gembira dan bukannya semata-mata untuk diperiksa.

“Bagaimanapun bagi pihak guru pula mungkin mereka akan berkata semuanya hendak suruh kami ajar termasuk keselamatan jalan raya dan pelbagai topik lain,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pendidikan boleh dipilih sama ada murid mencapai tahap sijil atau untuk mereka memahami masyarakat di sekeliling.

Ringkasan AI

  • Cadangan menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pusat pembelajaran pelbagai bahasa sudah dilaksanakan di sekolah tertentu berdasarkan permintaan ibu bapa
  • Subjek bahasa Cina dan Tamil ditawarkan jika ada permohonan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru dengan syarat minimum 15 murid
  • Kementerian Pendidikan menyediakan guru terlatih untuk mengajar bahasa Cina dan Tamil apabila ada permintaan mencukupi
  • Langkah ini dianggap sebagai cara untuk memupuk perpaduan nasional dan menghapuskan rasa curiga antara kaum
  • Pendidikan pelbagai bahasa dianggap praktikal dan boleh dilaksanakan, dengan fokus bukan hanya untuk diperiksa tetapi juga untuk memahami masyarakat sekeliling

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!