Pusat Dialisis PERKESO Shah Alam tubuh Soul Fitness Corner pertama

SHAH ALAM - Dalam usaha memperkasa kesihatan holistik dan kesejahteraan rohani pesakit, Pusat Dialisis PERKESO Shah Alam menubuhkan Soul Fitness Corner pertama, sebuah sudut khas yang memberi ruang kepada pesakit mendalami dan menjiwai al-Quran sepanjang tempoh rawatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Nephrocare Management Sdn Bhd & Orion Management Sdn Bhd, Datuk Suib Ahmad berkata, sudut Soul Fitness Corner anjuran bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu merupakan pendekatan baharu yang menyatukan aspek spiritual dalam rawatan perubatan, khususnya kepada pesakit buah pinggang yang menjalani dialisis berulang kali.
“Melalui sudut ini, pesakit digalakkan untuk membaca, mendengar atau bertadabbur al-Quran sebagai terapi rohani di samping rawatan fizikal yang diterima.
“Mengikut pengalaman saya selama 25 tahun dalam dialisis, ini pertama kali merasakan kekurangan berlaku sebelum ini apabila tidak memfokuskan kepada pembinaan jiwa.
“Jadi, saya mengambil peluang ini untuk memfokuskan ke arah pembinaan dan pengukuhan jiwa kepada para pesakit kerana mereka sangat memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambah beliau, ramai pesakit yang datang bukan sahaja perlu kekuatan fizikal, malah memerlukan ketabahan dalaman.
Ujarnya, al-Quran menjadi sumber inspirasi dan ketenangan kepada pesakit serta sudut ini juga diwujudkan bagi menyediakan suasana yang mendamaikan sekali gus memberi motivasi berasaskan nilai keagamaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, Soul Fitness Corner dilengkapi dengan naskhah al-Quran dan bahan bacaan berkaitan kesihatan jiwa serta sudut santai untuk renungan dan muhasabah diri.
“Ia secara tidak langsung membuka ruang kepada sukarelawan agama, pakar psikologi dan kesihatan serta pemakanan untuk hadir berkongsi ilmu dan memberikan sokongan emosi kepada pesakit.
“Ini juga merupakan pusat dialisis pertama menubuhkan sudut seperti ini. Semoga ia dapat diperluas ke pusat-pusat dialisis lain di seluruh negara bagi memastikan pesakit bukan sahaja dirawat tubuhnya, tetapi juga dipulihkan semangat dan rohaninya.

Menurut Marhaini, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen pihaknya dalam menerapkan prinsip penjagaan kesihatan secara menyeluruh selari dengan pendekatan al-Quran dalam pemulihan pesakit.
Tambahnya, besar harapan untuk sudut tersebut memberi inspirasi kepada pesakit bagi memanfaatkan masa rawatan selama empat jam dengan lebih bermakna dan positif.
Menurutnya, menjalani rawatan dialisis bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal, malah menuntut ketabahan mental dan emosi.
“Pesakit dialisis lazimnya perlu meluangkan kira-kira empat jam untuk setiap sesi rawatan.
“Dengan kewujudan sudut ini, masa tersebut dapat dimanfaatkan dengan lebih baik melalui pembacaan al-Quran, mendengar bacaan ayat suci dan refleksi kendiri yang memberi motivasi dan harapan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

