Dua bekas sub kontraktor dalang curi kabel pencawang telekomunikasi

ALOR SETAR – Dua bekas subkontraktor syarikat telekomunikasi dikenal pasti sebagai dalang utama sindiket kecurian kabel pencawang yang aktif di Kedah dan Perlis, melibatkan kerugian lebih RM50,000 kepada penyedia perkhidmatan.
Sindiket terbabit berjaya ditumpaskan susulan penahanan 10 individu, termasuk seorang wanita tempatan dalam beberapa siri serbuan yang dijalankan Polis Kedah bermula 24 Ogos lalu.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, siasatan mendapati dua suspek utama menyamar sebagai juruteknik pencawang dengan memakai pakaian keselamatan dan menggunakan kunci pendua untuk memasuki kawasan pencawang.

“Mereka memotong empat batang kabel jenis RRU Power Cable sepanjang 12 meter sebelum menggulung dan membakar kabel tersebut untuk dijual kepada pemilik premis barang lusuh,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Ahad.
Menurut beliau, kabel yang dicuri dijual pada harga antara RM25 hingga RM36 sekilogram, menyebabkan kerugian besar kepada syarikat telekomunikasi dan gangguan kepada sistem komunikasi awam.
Antara yang ditahan termasuk juruteknik pencawang, pemilik premis barang lusuh dan beberapa penganggur yang dipercayai turut terlibat dalam rangkaian kegiatan jenayah tersebut.
“Kesemua suspek mengaku terbabit dalam kegiatan itu dan hasil tangkapan berjaya menyelesaikan 31 kes kecurian kabel di Kedah dan Perlis,” katanya.
Daripada jumlah itu, 15 kes berlaku di daerah Kota Setar, empat di Kubang Pasu, enam di Yan dan empat di Padang Terap.
Di Perlis pula, dua kes direkodkan masing-masing di Arau dan Padang Besar.
Polis turut merampas kabel yang dianggarkan bernilai RM15,000 dan membuka 18 kertas siasatan yang telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Kedah, manakala baki 11 kertas siasatan masih dalam proses dilengkapkan.
“Setakat ini, satu kertas siasatan telah diarahkan untuk pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan,” jelas Baderulhisham.
Beliau turut menegaskan bahawa kegiatan kecurian kabel ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah menjejaskan sistem komunikasi serta keyakinan pengguna terhadap penyedia perkhidmatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379/431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ringkasan AI
- Dua bekas subkontraktor syarikat telekomunikasi dikenal pasti sebagai dalang utama sindiket kecurian kabel di Kedah dan Perlis
- Penahanan 10 individu termasuk seorang wanita dalam siri serbuan oleh Polis Kedah
- Sindiket memotong dan membakar kabel untuk dijual kepada pemilik premis barang lusuh
- Kerugian lebih RM50,000 dengan harga jualan kabel antara RM25 hingga RM36 sekilogram
- Polis menyelesaikan 31 kes kecurian kabel dan merampas kabel bernilai RM15,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

