11 ahli 'Geng Apan Sungai Petani' mengaku salah curi kabel

Seramai 12 ahli 'Geng Apan Sungai Petani' dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang pada Khamis atas dakwaan mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi.
Seramai 12 ahli 'Geng Apan Sungai Petani' dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang pada Khamis atas dakwaan mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi.
A
A
A

MARANG – Seramai 11 ahli ‘Geng Apan Sungai Petani’ mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Marang pada Khamis atas pertuduhan mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi di Kampung Sungai Kerak, di sini, minggu lalu.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 22 hingga 44 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noryusriza Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama telah mencuri 208 batang kabel hitam mengandungi logam disyaki tembaga serta lima gulung kabel yang turut mengandungi logam sama milik syarikat berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 5.30 pagi pada 8 Mei 2025.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Seramai 10 tertuduh didenda RM3,000 atau empat bulan penjara, manakala seorang lagi tertuduh Mohd Shafik Jamaludin, 30, yang mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah curi dihukum penjara empat bulan, denda RM2,000 dan satu sebatan.

Sementara itu, seorang lagi ahli kumpulan berkenaan, Hafizal Ab Hashim, 40, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Mahkamah membenarkan Hafizal diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maisarah Abdul Razak.

Sebelum ini, polis menumpaskan ‘Geng Apan Sungai Petani’ yang dipercayai aktif mencuri kabel telekomunikasi bawah tanah milik sebuah syarikat komunikasi selepas membongkar kegiatan itu dalam serbuan di sebuah inap desa di Kampung Baru Rhu Muda pada 8 Mei lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!