X

Kindly register in order to view this article
!

Masih ada rakyat degil guna 'laluan tikus' ke Thailand!

Anggota PGA Batalion 7 memperketatkan kawalan di pangkalan haram sepanjang sungai Golok.
A
A

RANTAU PANJANG - Polis mengesan masih ada segelintir rakyat yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor menggunakan laluan tikus untuk masuk ke negara jiran secara haram.

Tindakan itu bukan sahaja melanggar peraturan sedia ada malah bertentangan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19 ketika ini.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan, Superintanden Azhari Nusi berkata, pihaknya kesal dengan tindakan tersebut yang dilihat seperti memperkecil-kecilkan undang-undang negara.

"PGA Batalion 7 yang melakukan penugasan di Op Wawasan Kelantan ketika ini sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar peraturan tersebut.

"Kita juga akan perketatkan lagi kawalan di 88 pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor bagi memastikan tiada sebarang pergerakan berlaku di kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Azhari Nusi
Azhari Nusi

Menurutnya, tindakan drastik ini diambil untuk mengekang sepenuhnya pergerakan warga tempatan dan warga asing daripada masuk serta keluar dari negara ini menggunakan pangkalan haram.

Katanya, rondaan bermotosikal dan kenderaan akan turut dilakukan polis bagi memastikan kawalan sempadan negara berada pada tahap terbaik.

"Jadi kami berharap rakyat di sempadan menghormati peraturan ini dengan sebaik mungkin dalam usaha mengekang penularan Covid-19," katanya.

Azhari berkata, jenayah rentas sempadan seperti aktiviti penyeludupan turut diberikan perhatian oleh pihaknya.

Bermula 18 Mac hingga 31 Mac ini, kerajaan melaksanakan perintah kawalan terhad dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus