Penagih dadah sanggup terjun bangunan elak dicekup polis

Sik Choon Foo
Sik Choon Foo
A
A
A

GUA MUSANG – Cubaan tiga lelaki dipercayai penagih dadah yang mengelak daripada dicekup polis bertukar tragedi apabila dua daripadanya sanggup terjun dari tingkat dua Blok Projek Perumahan Rakyat (PPR), di sini dalam Ops Tapis pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang melakukan serbuan di kawasan perumahan berkenaan yang terletak di belakang Balai Bomba Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, semasa operasi dijalankan, tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30-an dikesan berada di tingkat dua bangunan tersebut.

“Namun, dua suspek bertindak nekad melarikan diri dengan terjun dari tingkat dua.

“Akibatnya, seorang mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi sedang menerima rawatan di Hospital Ismail Petra, Kuala Krai,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pihak polis turut merampas sejumlah pil yaba dalam operasi berkenaan.

Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tegasnya, tindakan melarikan diri dengan cara membahayakan nyawa sendiri adalah tidak wajar dan boleh membawa maut.

“Kami (polis) akan terus komited membanteras kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah demi keselamatan masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Tiga lelaki dipercayai penagih dadah cuba mengelak dicekup polis di Gua Musang
  • Dua daripada mereka terjun dari tingkat dua Blok Projek Perumahan Rakyat dalam Ops Tapis
  • Seorang mengalami kecederaan ringan, manakala seorang lagi sedang dirawat di hospital
  • Polis merampas pil yaba dalam operasi tersebut
  • Kesemua suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!