Nepal kembali tenang

KATHMANDU - Situasi di ibu kota Nepal pada Khamis kekal tenang pada hari kedua perintah berkuat kuasa setelah ia kini dikawal tentera bagi meredakan protes ganas yang tercetus pada awal minggu lalu.
Sekatan pergerakan turut ditarik balik bagi membenarkan pekerja sektor penting kembali bertugas dan orang ramai mendapatkan bekalan makanan selepas insiden konfrontasi ganas terburuk dalam tempoh dua dekad itu berakhir.
Pada Rabu, pemimpin kumpulan protes itu, Rakshya Bam memaklumkan satu pertemuan dengan pemimpin tentera telah diadakan dan mereka mencadangkan bekas Ketua Hakim, Sushila Karki untuk memimpin kerajaan sementara.
Menerusi wawancara bersama rangkaian TV India, tokoh popular itu turut mengesahkan beliau bersedia untuk menggalas peranan itu.
Sementara itu, penganjur demonstrasi Gen Z, Tanuja Pandey menegaskan mereka tidak terlibat dengan rusuhan ganas yang menyaksikan kejadian arson secara meluas.
"Kami tidak kaitan dengan 'amukan' luar biasa seperti melakukan vandalisme dan arson. Kami hanya menuntut pembaharuan dan mengadakan demonstrasi secara aman. Mungkin ada pihak cuba mengeksploitasi gerakan ini," tegasnya.
Berikutan keadaan yang kembali pulih, sekumpulan sukarelawan bertindak membersihkan jalan-jalan utama yang ditimbuni sisa runtuhan dan pelbagai objek ditinggalkan perusuh.
Tentera turut mengeluarkan perintah meminta orang ramai menyerahkan apa jua bentuk senjata termasuk peluru dan bom tangan serta kesemua barangan dijarah. - Agensi
Info:
>Rusuhan ganas selama dua hari itu mengakibatkan 30 terbunuh manakala 1,033 cedera, bangunan kerajaan, hotel dan kediaman ahli politik serta banyak harta benda awam menjadi sasaran arson. Lebih 13,500 banduan turut lolos dari penjara.
>Datuk Bandar Kathmandu, Balendra Shah, 35, juga berada dalam senarai cadangan untuk menjadi pemimpin interim.
>Keberadaan bekas PM, KP Sharma Oli, 73, yang meletak jawatan pada Selasa masih tidak diketahui selepas beliau melarikan diri. Bekas sekutunya, Sher Bahadur Deuba, 79, juga hilang tanpa khabar berita sejak demonstrasi ganas itu meletus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

