Serangan Israel ke atas Hamas di Qatar, ini yang anda perlu tahu

ISRAEL mencetuskan kejutan besar di Timur Tengah apabila melancarkan serangan udara di Doha, Qatar pada 9 September lalu, menyasarkan pejabat kepimpinan kanan Hamas.
Letupan kuat dilaporkan menggegarkan kawasan Leqtaifiya dan Katara, dengan asap tebal menjulang tinggi di udara.
Media antarabangsa termasuk Reuters dan Al Jazeera mengesahkan ia mengena pasukan perunding Hamas yang berada di ibu negara Qatar.
Serangan itu dianggap cubaan Israel menggagalkan rundingan gencatan senjata Gaza yang sedang diusahakan. Berikut perkara penting yang perlu anda tahu:
Berikut perkara penting anda perlu tahu:
1. Bagaimana serangan berlaku?
Serangan udara dilakukan Israel pada petang Selasa, menggunakan sekurang-kurangnya 15 jet pejuang yang melepaskan 10 peluru berpandu ke arah sasaran tunggal berhampiran stesen minyak Woqod di Jalan Wadi Rawdan, West Bay Lagoon.
Tentera Israel mendakwa ia adalah serangan tepat ke atas pemimpin kanan Hamas yang beroperasi dari Qatar sejak 2012.
2. Siapa terkorban?
Hamas memaklumkan barisan kepimpinannya terselamat, namun enam individu maut termasuk seorang anggota keselamatan Qatar dan anak kepada pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayya.
Mangsa terlibat termasuklah Humam al-Hayya (anak Khalil al-Hayya), Jihad Labad Abu Bilal (pengarah pejabat Hamas), Koperal Badr Saad Mohammed Al-Humaidi (anggota keselamatan dalaman Qatar) serta tiga pengawal peribadi iaitu Abdullah Abdul Wahid, Moamen Hassouna dan Ahmed Al-Mamluk
3. Latar belakang
Ia dipercayai serangan pertama Israel di terhadap negara Teluk Arab.
Wilayah Qatar sejak 2012 menjadi tuan rumah biro politik Hamas dan perantara utama rundingan Gaza.
Operasi terbabit dipercayai dinamakan Operation Summit of Fire.
4. Reaksi dunia
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB): Setiausaha Agung Antonio Guterres menyifatkan ia pelanggaran terang-terangan kedaulatan Qatar.
Arab Saudi: Menyifatkan tindakan Israel sebagai “agresi brutal” dan memberi amaran terhadap akibat serius.
Turkiye: Menuduh Israel tidak berminat mencari damai, sebaliknya memilih perang.
Emiriah Arab Bersatu (UAE): Menyokong Qatar sepenuhnya, menyifatkan ia serangan khianat.
Kuwait dan Jordan: Mengecam keras, menyifatkannya pencabulan undang-undang antarabangsa.
Iran dan Iraq: Menyifatkan ia tindakan pengecut dan jenayah berbahaya.
Palestin: Mengecam pembunuhan terancang di Doha.
Amerika Syarikat & United Kingdom: Akui dimaklumkan, tetapi menegaskan ia mengancam kestabilan rantau.
5. Reaksi Qatar
Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, menghubungi Presiden AS, Donald Trump, menyifatkan serangan itu sebagai “jenayah pengecut” dan pencabulan kedaulatan negara.
Kementerian Luar Qatar pula menegaskan ia tidak akan berdiam diri terhadap tindakan Israel dan akan terus memainkan peranan sebagai pengantara damai.
6. Kesan terhadap rundingan damai
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, menegaskan Doha tetap komited menjadi perantara gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza walaupun berdepan serangan ini.
Menurutnya, tiada apa akan menghalang Qatar dari terus memainkan peranan sebagai perantara untuk semua isu berlaku di rantau itu
7. Adakah ada rakyat Malaysia terkesan dengan serangan?
Kedutaan Malaysia di Doha mengesahkan tiada rakyat Malaysia terkesan dalam serangan itu. Namun, semua warga Malaysia di Qatar diminta berjaga-jaga dan menjauhi kawasan kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

