Israel serang pemimpin Hamas di Qatar, letupan gegar Doha

DOHA – Israel melancarkan serangan terhadap kepimpinan Hamas di Qatar pada Selasa, sekali gus memperluas tindakan ketenteraan rejim itu di seluruh Asia Barat hingga ke negara Teluk yang lama menjadi pangkalan politik kumpulan berkenaan.
Seorang pegawai Israel mengesahkan kepada Reuters bahawa serangan itu menyasarkan pemimpin Hamas di Qatar.
Menurut stesen televisyen Al Jazeera, yang memetik sumber Hamas, serangan terbabit turut mengenai perunding gencatan senjata Gaza.
Saksi Reuters melaporkan beberapa letupan kuat kedengaran di ibu kota Doha dengan asap hitam tebal menjulang berhampiran stesen minyak Legtifya.
Di sebelahnya terdapat sebuah kawasan perumahan kecil yang dikawal ketat oleh pasukan pengawal emir Qatar sejak tercetusnya konflik Gaza.
Media Israel pula melaporkan serangan itu menyasarkan tokoh kanan Hamas termasuk Khalil al-Hayya, ketua Hamas di Gaza yang hidup dalam buangan dan perunding utama gencatan senjata.
Kerajaan Qatar mengecam tindakan Israel itu sebagai “pengecut” serta menyifatkannya sebagai pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
Qatar juga menegaskan serangan tersebut menjejaskan peranan negara itu sebagai pengantara rundingan damai antara Israel dan Hamas. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

